PETALING JAYA – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) memaklumkan bahawa tabung sumbangan yang dilancarkan bagi membantu mangsa-mangsa nahas tragedi bas membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya mengumpulkan keseluruhan RM290,651.51 hasil daripada 18,927 penyumbang.
Susulan itu, MPP UUM merakamkan penghargaan tertinggi kepada seluruh rakyat Malaysia atas solidariti luar biasa yang ditunjukkan menerusi sumbangan kepada Tabung Kilat Kemalangan bagi membantu mangsa yang terlibat.
Jumlah tersebut disifatkan sebagai simbol keprihatinan dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia dalam saat duka.
“Penyerahan rasmi sumbangan kepada mangsa akan diumumkan melalui hebahan rasmi kelak, setelah melalui proses kewangan dan tatacara saluran bantuan yang telah ditetapkan,” katanya dalam perkongsian di media sosial.
Terdahulu, nahas bas yang menimpa pelajar UPSI baru-baru ini mencetuskan gelombang simpati di seluruh negara, dengan pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan kewangan dan moral kepada mangsa dan ahli keluarga mereka.
Kejadian tersebut berlaku semasa sebuah bas persiaran yang disewa khas sedang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu menuju ke kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim.
MPP turut mendoakan agar segala bentuk kebaikan yang dizahirkan oleh para penyumbang menjadi asbab keberkatan buat semua yang terlibat. – KOSMO! ONLINE