fbpx
Saintis penerima anugerah, Dr. Nur Alia yang digelar sebagai Kakak Nyamuk kerana komitednya melakukan kajian ke atas jentik-jentik di Lembah Klang turut pernah mengkaji bakteria di Antartika.

‘Kakak Nyamuk’ buat kajian sampai ke Antartika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SAYA tetap doktor, cuma doktor PhD (Ijazah Doktor Falsafah).”

Itu seloroh Dr. Nur Alia Johari mengenai apa yang dilakukan ketika ini biarpun hasrat ibu bapanya adalah untuk melihat dia bergelar doktor perubatan.

Dr. Nur Alia merupakan antara saintis wanita berjaya di negara ini yang mempunyai minat yang tinggi dalam sains. Minat itu membawanya ke pelbagai tempat dari mengumpul sampel nyamuk di kawasan kejiranan Malaysia sehinggalah mengkaji bakteria di Antartika.

Di sepanjang perjalanannya, Dr. Nur Alia, 33, yang merupakan pensyarah kanan dan Ketua Makmal Penyelidikan Kolaboratif Mikrobiologi Lanjutan (AMCRL) di Universiti IMU mempelajari pelbagai kemahiran baharu.

Pengalaman ini membentuknya menjadi seorang saintis dan penyelidik muda yang berjaya.

Dalam satu perkongsian kepada K-Wanita, Dr. Nur Alia yang baru-baru ini menerima Anugerah Penyelidik Muda di Kongres Asia ke-11 Mengenai Penyakit Berjangkit Pediatrik di Hong Kong berkongsi sedikit kisah pengembaraannya dengan harapan dapat memberi inspirasi kepada wanita muda lain untuk menyahut cabaran dalam dunia sains.

Bagi Dr. Nur Alia, keinginan mendalam memahami punca berkenaan masalah ekzema dialaminya sebelum ini membuatkannya nekad memilih bidang sains bioperubatan di universiti.

Anak kelahiran Selangor itu memberitahu, semasa pengajian sarjana muda dalam kesihatan global di Imperial College London, United Kingdom dia belajar dan didedahkan mengenai penyakit dalam konteks lebih luas. Ia termasuk dari segi faktor risiko, golongan terjejas dan rawatan yang diperlukan.

Ujarnya, minatnya semakin meningkat ketika menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam Kesihatan Awam di universiti sama. Ketika itu, dia turut mempelajari pemetaan penyakit menggunakan Sistem Maklumat Geografi (GIS).

“Ketika itu saya menganalisis data 90,000 kanak-kanak di Yemen yang menghidap Skistosomiasis, walaupun tidak dapat ke sana akibat konflik di Asia Barat.

“Kajian tersebut diterbitkan bersama Kementerian Kesihatan Yemen, memberikan gambaran pertama mengenai anemia dalam kalangan kanak-kanak sekolah di negara itu,” katanya.

SEKEMBALINYA ke tanah air pada 2015, dia menyertai IMU sebagai pensyarah ketika baru sahaja menginjak usia 24 tahun.

Tidak lama selepas itu, dia kemudian dilantik sebagai Pegawai Biokeselamatan (BSO) untuk Jawatankuasa Biokeselamatan Institusi IMU (IMU-IBC).

“Ketika di IMU, saya menyelesaikan PhD dalam Sains Perubatan dan Kesihatan dengan fokus mengenai epidemiologi denggi.

“Pada tahun 2019, saya dilantik sebagai Ketua Makmal Penyelidikan Kolaboratif Mikrobiologi Lanjutan (AMCRL) IMU dan kini berkhidmat sebagai pensyarah kanan,” katanya.

Dr. Nur Alia menerbitkan kajian dalam jurnal berprestij seperti The Lancet Infectious Diseases dan PLOS Neglected Tropical Diseases (PLOS NTDs). Ia merupakan sebuah jurnal akses terbuka yang memfokuskan kepada kajian penyakit tropika terabai.

Penyelidikan kedoktorannya juga tertumpu kepada epidemiologi denggi di Malaysia dengan mengkaji jaringan faktor risiko yang terbabit.

Sepanjang kajian, Dr. Nur Alia mengumpul sampel jentik-jentik setiap dua minggu selama setahun dari 18 rumah di Lembah Klang.

“Kehadiran saya yang kerap di komuniti terbabit menyebabkan ada kanak-kanak menggelarkan saya ‘jie-jie nyamuk’ (Kakak Nyamuk).

“Tidak setakat itu, kereta saya juga dikenali sebagai ‘kereta nyamuk’ kerana dipenuhi ratusan sampel jentik-jentik,” tutur Dr. Nur Alia.

DR. NUR ALIA semasa menerima PhD dalam Perubatan dan Sains Kesihatan di IMU, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Jelasnya, kajian seperti itu penting kerana ia menambah pengetahuan mengenai denggi di Malaysia.

“Ia adalah inti utama dalam tugasan saya iaitu menilai dan memahami beban penyakit di kawasan tertentu dengan matlamat membantu program kawalan penyakit di peringkat nasional.

“Menerusinya, kita dapat merancang intervensi kesihatan awam yang lebih berkesan dan relevan. Ini yang saya mahu lakukan, menggunakan ilmu dan kemahiran yang ada di tanah air sendiri.

“Kesihatan awam sangat bergantung kepada konteks setempat, di mana setiap konsep atau intervensi perlu disesuaikan dengan komuniti yang terbabit dan sebagai orang tempatan, kita berada dalam kedudukan terbaik untuk melakukannya,” kata wanita yang masih bujang itu.

Baginya, bersuara, bersabar dan berani menyatakan pendapat adalah kunci untuk membuat perubahan.

Pada tahun 2019, Dr. Nur Alia telah menyertai ekspedisi British Antarctic Survey (BAS) ke Stesen Penyelidikan Signy di Antartika selepas disua seorang rakan jika dia berminat menyertai ekspedisi ke Antartika sebagai saintis lapangan.

Sudah menjadi sifat semula jadinya yang sukakan cabaran, dia terus menyahut peluang ini.

Katanya, Antartika adalah makmal semula jadi. Dengan aktiviti manusia yang terhad, ia adalah tempat terbaik untuk mengkaji bagaimana komuniti bakteria berinteraksi.

Menceritakan pengalaman, dia bersama enam lelaki di pangkalan terpaksa menyesuaikan diri dengan kerja manual termasuk mengecat dan membaiki struktur.

Sebelum ekspedisi, Dr. Nur Alia menjalani latihan kelangsungan hidup di United Kingdom termasuklah belajar menghadapi ombak, terjun dari platform tiga meter dan membalikkan rakit penyelamat. Dia juga berlatih mendaki glasier menggunakan crampon dan kapak ais sambil membawa beban seberat 20 hingga 25 kilogram.

Menyentuh soal halangan ujarnya, cabaran terbesar bukan sekadar fizikal, tetapi juga menyesuaikan diri dengan pelbagai personaliti dalam pasukan.

“Hidup bersama pasukan berbeza jantina mengajar saya kepentingan komunikasi jujur tanpa mengganggu profesionalisme,” katanya.

Namun katanya, cabaran sebenar adalah selepas ekspedisi apabila wabak Covid-19 melanda dunia. Dirinya pulang ke Malaysia tiga hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Dalam perjalanan pulang, dia sudah mendaftar sebagai sukarelawan pasukan ujian Covid-19 di IMU.

“Ketika itu, makmal kesihatan awam menghadapi kekurangan kapasiti dan IMU menjadi institusi swasta pertama membantu saringan.

“Ia menakutkan kerana pemahaman terhadap virus masih terhad dan kami perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE) dengan sangat ketat,” katanya.

Disember lalu, Dr. Nur Alia terus melakar kejayaan tersendiri apabila menerima Anugerah Penyelidik Muda di Kongres Asia ke-11 Mengenai Penyakit Berjangkit Pediatrik di Hong Kong. Dia membentangkan kajian Streptococcus pneumoniae dalam kalangan kanak-kanak Malaysia yang diselarasnya sebagai penyelidik utama.

“Bagi saya, sains berkembang pantas dan kerjasama dengan pakar lain adalah kunci untuk terus maju,” katanya.

Dr. Nur Alia juga mengakui wanita hari ini bukan asing lagi dalam bidang sains dan teknologi kerana menjadi penyumbang utama yang sama penting seperti lelaki.

Katanya, saintis dan penyelidik tanpa mengira jantina, masing-masing dengan kekuatan serta kemahiran tersendiri dapat menyumbang kepada kemajuan sains.

“Peluang dalam bidang ini sebenarnya sangat luas dan tidak terbatas, lebih-lebih lagi dengan kemajuan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan data besar. Menceburi bidang sains dan mencari cabang yang sesuai dengan minat mungkin memerlukan masa kerana anda perlu meneroka setiap aspek bagi memahami kesesuaiannya.

“Namun, apabila sudah menemui bidang yang diminati, terus terjun ke dalamnya dengan sepenuh hati dan jadikan idea serta pemikiran anda satu realiti,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN