GEORGE TOWN – Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti langkah penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan mandatori oleh kenderaan berat dalam usaha memperkukuh dasar keselamatan jalan raya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya sedang meneliti penggunaan teknologi seperti pengehad kelajuan dan kamera sebagai langkah keselamatan, selain mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar dalam bas ekspres.
“Kenderaan berat pada masa ini memang dilengkapi dengan pengehad kelajuan, namun peranti itu sering diubah suai sehingga tidak lagi berfungsi untuk mengawal kelajuan.
“Ini cabaran yang perlu kita tangani dalam memastikan pematuhan oleh syarikat-syarikat yang mengendalikan kenderaan berat termasuk lori dan bas,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan CruiseWorld Malaysia 2025 di sini, hari ini.
Anthony berkata, kenderaan berat didapati memasang pengehad kelajuan untuk melepasi pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) namun selepas itu ia diubah suai supaya kenderaan boleh dipandu laju.
“Jadi kita perlu lihat bagaimana untuk mengelakkan peranti ini daripada diubah suai dengan memperkenalkan undang-undang yang lebih ketat,” katanya.
Sementara itu, katanya, mulai tahun 2020, semua bas baharu wajib dilengkapi dengan tali pinggang keledar bagi semua penumpang.
“Namun dalam kejadian di Lebuh Raya Timur-Barat di Gerik, Perak (semalam) bas itu dibina pada 2013, jadi ia berusia 12 tahun dan tidak mempunyai tali pinggang keledar,” katanya. -KOSMO! ONLINE