fbpx

Nahas UPSI: Saksi lihat rakan tersepit dan meronta minta tolong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALEEYA Maisarah menceritakan detik-detik kemalangan membabitkan bas persiaran yang membawa 42 pelajar UPSI dan MPV jenis Perodua Alza di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat, Jeli-Gerik di Gerik hari ini.

GERIK – “Saya nampak ada yang meronta-ronta, tapi saya tak mampu untuk tolong mereka”.

Demikian kata Aleeya Maisarah Azizzani, 21, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat nahas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik berhampiran Tasik Banding dekat sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi itu, seramai 15 pelajar UPSI maut manakala 27 lagi cedera setelah bas dinaiki mereka melanggar belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.

Menurut pelajar semester empat jurusan pendidikan bahasa Arab itu, dia tidak mampu membantu mangsa lain berikutan keadaan belakang badannya yang sakit dan tidak boleh bergerak.

Katanya, dalam keadaan terbaring itu, dia mendengar rintihan rakan-rakan lain meminta tolong dengan ada antara mereka sudah tidak bersuara.

“Keadaan ketika itu sangat menyedihkan apabila lihat mereka meronta-ronta tapi saya tidak boleh buat apa. Dalam keadaan belakang badan yang sakit saya cuba gagahkan diri cari jalan keluar.

“Ketika itu, saya lihat ada orang awam serta pasukan keselamatan yang bantu keluarkan kami,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini hari ini.

Menurut Aleeya Maisarah, selain tersepit, terdapat juga penumpang lain yang tercampak ke dalam longkang dan mengalami kecederaan serius.

Katanya, ketika kejadian, dia tidak tidur dan menyaksikan kemalangan itu berlaku termasuk apabila bas tersebut terbalik ke bahu jalan.

“Semasa di Tanah Merah, saya sudah terhidu bau hangit tayar dan perkara itu disedari juga beberapa penumpang lain. Saya tidak fikir lain dan tertidur selepas itu.

“Bagaimanapun, ketika sampai di Jeli, saya tersedar selepas bas tersebut dipandu laju dan melanggar lopak air hingga hampir terbabas ke kanan.

“Ketika itu pemandu perlahankan kenderaan sebelum kembali memandu laju sehingga tiba di satu selekoh di mana bas dinaiki terbalik ke kiri jalan,” katanya yang mengalami beberapa kecederaan termasuk di kepala dan kaki terseliuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI