MELAKA – Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Seksyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, dua tahun lalu.
Tertuduh, Jaafar Taib, 70, yang juga menghidap penyakit jantung dan kencing manis bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Haderiah Siri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan meraba mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun bagi tujuan seksual kira-kira pukul 2 petang di sebuah rumah di Klebang, dalam daerah Melaka Tengah, pada awal Februari 2023.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan sebarang jaminan namun mencadangkan RM20,000 dikenakan sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara berserta syarat tambahan.
Peguam Kent Tan yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya menghidap penyakit jantung dan kencing manis selain mempunyai lima orang anak.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan beberapa syarat tambahan. Kes disebut semula pada 16 Julai depan. – KOSMO! ONLINE