fbpx

Nahas pelajar UPSI: PM arah KPT selaras bantuan buat keluarga mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan bas yang terlibat dalam kemalangan terbabit.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita berhubung kemalangan yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, Perak pagi tadi.

Anwar berkata, beliau telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyelaras bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa yang terlibat.

“Saya dan Azizah (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) amat berdukacita menerima perkhabaran nahas tragis melibatkan sebuah bas dan kenderaan lain (yang) mengorbankan 15 pelajar.

“Saya telah arahkan KPT untuk menyelaras bantuan sewajarnya buat keluarga mangsa,” katanya.

Anwar juga mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini.

Menurut beliau, musibah menyayat hati sebegini yang sering kali berulang seharusnya menjadi pengajaran buat semua agar sentiasa berhati-hati dan usah terburu-buru mengejar destinasi.

“Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti,” katanya.

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan sekurang-kurangnya 15 mangsa maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Gerik pagi tadi.

Difahamkan ketika kejadian bas itu dalam perjalanan membawa pelajar ke kampus UPSI di Tanjung Malim dari Jerteh, Terengganu.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana Banun menerima panggilan berhubung kejadian yang melibatkan 48 mangsa itu pada pukul 1.10 pagi.

Katanya, anggota APM yang tiba di lokasi pada pukul 2.11 pagi mendapati nahas membabitkan MPV dan sebuah bas yang terbalik.

Anggota APM membawa beberapa mangsa yang cedera ke Hospital Gerik. Mereka mengalami kecederaan antaranya patah tangan, patah kaki selain cedera ringan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI