JELI – Penyertaan masyarakat Orang Asli terutama di Kelantan dan Perak dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setakat ini masih rendah.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sehubungan itu, pihaknya akan menggerakkan program kesedaran di kawasan perkampungan Orang Asli untuk menarik minat masyarakat tersebut untuk menyertai pasukan pertahanan tersebut.
Katanya, Kementerian Pertahanan kekal fokus agar lebih ramai Orang Asli menyertai ATM yang merupakan antara pasukan tonggak dalam mempertahankan negara.
“Penglibatan Orang Asli sebagai Askar Wataniah atau ATM masih rendah. Kita tetap mahu masyarakat itu beada di dalam pasukan ATM.
“Sebelum ini, kita memberi tumpuan di kawasan Orang Asli di Perak untuk sertai ATM. Selepas ini, lebih banyak program akan diadakan untuk menarik minat masyarakat Orang Asli di Kelantan terutama di Gua Musang dan Jeli,” katanya selepas Program Peduli Veteran Madani di Sekolah Kebangsaan Sungai Rual di sini hari ini.
Adly berkata, beliau yakin lebih ramai masyarakat Orang Asli akan menyertai ATM sekiranya program berterusan dilaksanakan.
“Meskipun tiada angka sasaran (penyertaan Orang Asli dalam ATM), saya yakin jumlahnya akan meningkat akhir tahun ini sekiranya program berterusan dilakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE