ASHGABAT – Api di kawah terkenal yang digelar ‘Pintu Neraka’ semakin mengecil, lapor akhbar The Sun semalam.
Kawah api itu terletak di Gurun Karakum, Turkmenistan.
Api yang suhunya pernah mencecah 1,000 darjah Celsius itu marak selama 50 tahun tanpa padam.
Wujud sejak tahun 1971, kawah Darvaza terbentuk selepas saintis-saintis negara Kesatuan Soviet ketika itu tersilap menggerudi lubang di dalam tanah, mengenai kawasan gas semulajadi Bumi.
Sekumpulan penyelidik kemudian memutuskan untuk membakarnya, melahirkan pembentukan api tersebut.
Lubang benam selebar 70 meter dan dalam 65 meter itu menjadi lokasi tarikan pelancong paling popular.
Penyelidik-penyelidik berkata, api ‘Pintu Neraka’ mulai padam kerana semua gas mudah terbakar di dalam kawah tersebut hampir habis.
Kebakaran di dalam kawah tersebut kini tiga kali ganda lebih kecil daripada saiz asalnya.
Seorang pengarah di syarikat tenaga milik kerajaan, Irina Luryeva memberitahu persidangan bahan api fosil minggu ini: “Sebelum ini cahaya besar dari kawah itu kelihatan beberapa kilometer jauhnya menyebabkan ia dinamakan ‘Pintu Ke Neraka.’
‘Ketika ini, ia hanya tinggal api yang kecil.” – AGENSI