KUALA LUMPUR – Keterangan bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut dipercayai terjatuh dari tingkat 30 sebuah pangsapuri di Bukit Jalil, di sini, dijadualkan dirakam malam ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, keterangan itu akan diambil pada pukul 9 malam manakala beberapa lagi keterangan daripada saksi pakar dan saksi lain akan dirakam pada Isnin ini.
“Setakat ini, siasatan masih dijalankan dan kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, polis memaklumkan penahanan ibu mangsa serta adik perempuannya hingga semalam untuk membantu siasatan dan kedua-dua wanita itu telah direman selama sehari.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, pihak polis menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada pukul 11.17 pagi berhubung kejadian seorang kanak-kanak terjatuh dari sebuah unit kediaman di tingkat 30 pangsapuri berkenaan.
Mayat mangsa ditemukan di bahagian bawah bangunan dalam keadaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa mengesahkan kematian berpunca daripada kecederaan pelbagai akibat jatuh dari tempat tinggi.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE