LONDON – Arsenal sedang membuat kajian terperinci mengenai klausa pelepasan yang ada dalam kontrak penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga ketika mereka dilapor mahu membawa masuk pemain baharu di posisi berkenaan.
Ketika David Raya terus kekal menjadi pilihan utama, Arsenal mahu mendapatkan seorang lagi penjaga gol yang berpengalaman sebagai sokongan serta memberikan cabaran untuk membentuk persaingan.
The Gunners cuba mendapatkan khidmat pemain Espanyol, Joan Garcia, namun terpaksa melupakan hasrat tersebut apabila kelab Sepanyol itu enggan berunding kecuali jika mereka bersedia untuk melunaskan klausa pelepasan bernilai £21.4 juta (RM122.84 juta).
Perkembangan itu menyebabkan Arsenal terpaksa mencari pilihan lain dan melihat Arrizabalaga sebagai salah seorang calon yang boleh dipertimbangkan ketika khidmatnya tidak lagi diperlukan oleh Chelsea.
Pemain berusia 30 tahun itu menyertai Chelsea tujuh tahun lalu dengan nilai perpindahan £71.6 juta (RM411.01 juta) dan selepas dipinjamkan ke beberapa kelab sebelum ini, Arrizabalaga menyertai Bournemouth secara pinjaman dengan aksi yang cemerlang.
Klausa pelepasan pemain itu dianggarkan bernilai £5 juta (RM28.70 juta) menyebabkan Arsenal begitu berminat, namun mereka perlu berdepan cabaran Bournemouth yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya secara kekal selepas membantu pasukan itu mengakhiri musim lalu di kedudukan kesembilan Liga Perdana Inggeris. – AGENSI