PUCHONG – Video tular memaparkan pasangan suami isteri yang bertengkar di sebuah pasar raya ketika membeli barangan keperluan menyambut Hari Raya Aidiladha baru-baru hanyalah sebuah gimik hasil kolaborasi luar biasa antara tiga entiti tempatan iaitu ST Rosyaman, Sri Ternak dan ikhlas.com.
Pemilik pasar raya berkenaan, Rosyam Nor berkata, antara inti pati utama video tersebut ialah inisiatif penajaan lebih 100 pakej umrah percuma kepada pelanggan-pelanggan setia ST Rosyaman dan Sri Tenak.
“Selain itu, sumbangan ibadah korban sempena Aidiladha turut menjadi sebahagian daripada usaha kolaboratif tersebut, menjadikan program ini bukan sekadar promosi perniagaan, tetapi satu bentuk tanggungjawab sosial.
“Kami mengambil pendekatan menggunakan ‘term-term’ (istilah) atau gaya penyampaian yang mampu menarik perhatian umum untuk mendekati dan memahami mesej yang ingin disampaikan,” katanya ketika ditemui di Majlis Korban Perdana dan Rewang Kenduri ikhlas.com x ST Rosyam Mart di sini, hari ini.
Jelasnya, penularan video ini telah membuka mata masyarakat mengenai peranan yang dimainkan oleh entiti perniagaan dalam menyumbang kepada kebajikan umat. – KOSMO! ONLINE