GOPENG – Percaya dengan khasiat tersendiri durian belanda dan roselle mendorong ibu kepada empat zuriat, Norazizah Kufrun, 53, menghasilkan produk minuman untuk dikomersialkan sejak 2019 menerusi syarikatnya, Hati Waja Resources.
Perniagaan bersifat serampang dua mata itu membolehkan produknya tersebar di seluruh negara sambil membantu pengusaha dua tanaman itu di Ipoh dan Kampar membentuk ekosistem setempat yang saling membantu antara satu sama lain.
“Pemikiran saya sedikit berbeza iaitu ingin menghasilkan minuman berkhasiat yang sesuai untuk semua golongan. Ramai mendakwa buah durian belanda dan roselle ada kelebihan tersendiri jadi tanpa menoleh ke belakang, saya hasilkan produk-produk ini.
“Sebelum ini, saya hanya menjual pati tetapi tidak ramai mampu membelinya jadi saya beranikan diri mencipta minuman.
“Setelah melakukan kajian dan ujian termasuk mengikuti kursus anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), produk ini berjaya dihasilkan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Norazizah berkata, maklum balas daripada pelanggan sangat positif apabila minuman durian belanda digemari kerana cukup rasanya, tidak terlalu manis dan enak diminum meskipun disimpan lama di dalam peti sejuk.
“Sementara itu, minuman roselle kami juga turut menjadi kerana rasanya tidak masam seperti sifat buahnya. Syukur, kedua-dua produk ini makin dikenali di seluruh negara,” jelasnya.
Tambah Norazizah, sokongan agensi terutamanya Jabatan Pertanian Perak dan MARDI sangat membantu khususnya dalam urusan mendapatkan geran mesin proses serta pembungkusan yang dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran produk.
“Selain itu, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) banyak membantu mempromosikan produk melalui peluang penyertaan dalam ekspo dan pameran di seluruh negara.
“Inisiatif kerajaan negeri Perak yang membimbing dan membantu usahawan tempatan secara konsisten amat dihargai bagi memastikan kelangsungan perniagaan saya,” katanya.
Norazizah berkeyakinan dan teruja terhadap hala tuju dan perancangan kerajaan negeri terhadap komuniti usahawan menerusi pelan Perak Sejahtera 2030 hasil pengalamannya menyertai pameran-pameran perniagaan besar yang berlangsung di dalam negara.
“Kedudukan negeri Perak juga amat strategik dengan jaringan Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuh Raya Pantai Barat membantu dari segi keperluan logistik usahawan,” katanya.
Ini selaras dengan Program Flagship Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Pelan Perak Sejahtera 2030, iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan yang menjadi sasaran kerajaan negeri.