Penjualan vape masih rancak biarpun beberapa negeri telah mengharamkan penjualannya.
Johor, Kelantan dan Terengganu menjadi antara negeri terawal berbuat demikian bagi mengekang penjualan peranti yang kononnya akan membuatkan pengguna berhenti menghisap rokok.
Berita mengenai keburukan vape bukannya benda baru. Ada kes orang mati kerananya dan banyak berita mengenai penyakit yang dialami penghisapnya telah dilaporkan tetapi seakan tidak mengundang gerun.
Peranti itu masih lagi berada di tangan-tangan pengguna. Laman sosial dan premis di rumah kedai menjadi medan mudah untuk mendapatkan perisanya.
Anak-anak remaja secara diam membelinya di aplikasi jual beli online tanpa pengetahuan ibu bapa. Asapnya yang tidak mempunyai bau kuat seperti rokok memudahkan lagi mereka melakukan ‘jenayah’ di dalam rumah.
Asap putih tebal yang terhasil daripada perisa itu dibakar menggunakan peranti yang sudah pasti akan mendatangkan mudarat ke dalam badan.
Lebih membimbangkan, vape yang didatangkan dengan perisa buah-buahan pada asalnya kini berubah kepada cecair yang mengandungi racun dan dadah.
Sikap sesetengah pihak yang hanya memikirkan keuntungan mudah itu bakal membuatkan lebih ramai orang terjebak dengan masalah najis dadah.
Jika dahulu kalau mahu menghisap ganja memerlukan kepada daun nipah dan tembakau, kini hanya beberapa titik dadah itu boleh dihisap di mana-mana tanpa menimbulkan syak.
Semalam Persatuan Pengguna Pulau Pinang mendedahkan ramai anak gadis terjebak dengan budaya menghisap vape yang mengandungi racun dan dadah.
Mereka mendakwa, guru-guru merungut sikap pelajar dan murid berubah kerana tabiat buruk itu telah menyebabkan ketagihan bermula di peringkat awal remaja.
Persatuan itu menggesa gejala itu dibanteras segera sebelum memusnahkan kehidupan anak muda yang merupakan generasi harapan masa depan.
Pusat Racun Negara Universiti Sains Malaysia pula mendedahkan kes keracunan akibat vape meningkat dengan mendadak sejak tiga tahun lalu.
Vape mengundang penyalahgunaan dadah sintetik terutama kanabinoid yang menyasarkan remaja berusia seawal usia 15 tahun sebagai mangsanya.
Antara gejala yang dialami pesakit termasuk sawan, pengsan, muntah, halusinasi, delusi serta perubahan sikap ketara seperti menjadi agresif, malah terdapat kes yang menunjukkan gejala serius hanya selepas satu atau dua sedutan.
Persoalannya mengapa masih ada lagi pihak yang menjual vape sedangkan sudah terang lagi bersuluh ia mendatangkan bahaya kepada pengguna?
Sebagai warganegara bertanggungjawab, mereka sepatutnya berhenti merosakkan remaja yang merupakan aset negara.
Carilah bidang pasaran lain yang boleh juga menghasilkan wang daripada merosakkan bangsa sendiri. Tapi itulah, cakap sahaja senang hendak melaksanakannya memang payah.















