TANGKAK – Seorang lelaki bukan sahaja mengelar isterinya sampai mati, malah selepas membunuh wanita itu di sebuah rumah di Taman Cahaya, Bukit Gambir di sini, pada Isnin lalu, suspek kemudian mahu membakar rumah mentuanya.
Mangsa, Iecah Junus, 34, dibunuh kira-kira pukul 4.30 petang sebelum mayatnya dijumpai berlumuran darah dan ditutup dengan selimut di ruang tamu pada awal pagi kelmarin.
Suspek berusia 33 tahun itu kemudian telah ke rumah mentuanya sejauh 40 kilometer di Kampung Pengkalan Kota, Durian Chondong di sini, sebelum cuba membakar kediaman keluarga tersebut.
Bagaimanapun, perbuatannya telah disedari adik iparnya dan hanya beberapa buah kenderaan di luar kediaman yang rosak akibat dibakar oleh suspek.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd. Talib berkata, kejadian itu terbongkar selepas suspek cuba membakar rumah mentuanya di Kampung Pengkalan Kota.
“Suspek berjaya ditangkap oleh adik iparnya sendiri ketika cuba membakar rumah dan kemudian membawanya ke Balai Polis Bukit Gambir.
“Hasil soal siasat awal, suspek memberitahu mangsa telah tiada (akibat dibunuh) dan sepasukan anggota telah ke kediaman pasangan berkenaan,” katanya semalam.
Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi telah menemukan mangsa dan polis turut menjumpai pisau berhampiran mayatnya yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut.
“Motif awal kita percaya ini berkaitan dengan masalah atau konflik keluarga,” katanya.
Menurutnya, ujian air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah, namun lelaki itu memiliki satu rekod lampau di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dan telah dijatuhi hukuman denda RM1,800 pada 2017.
Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 kanun sama atas kesalahan melakukan khianat dengan api.
Ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak pagi semalam, suspek berkali-kali melaungkan kalimah Allahuakhbar selain beristighfar dan mengucapkan syahadah.
Lelaki itu yang memakai pakaian lokap berwarna ungu itu turut menjerit-jerit sambil merengus dalam keadaan gelisah.














