fbpx

Lima lelaki mengaku salah seleweng gas bersubsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan penyelewengan minyak gas bersubsidi di Mantin, hujung bulan lalu. FOTO/NOR AINNA HAMZAH/KOSMO!

SEREMBAN – Lima lelaki termasuk seorang warga Myanmar mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan penyelewengan minyak gas bersubsidi di Mantin, hujung bulan lalu.

Orang Kena Saman (OKS) iaitu Lee Kin Choong, 57; Lim Chun Wee, 38; Tang Kai Lin, 28; dan warga Myanmar, Mar Thang, 31, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam.

Pertuduhan bagi seorang lagi OKS, Phaway Ai, 23, tidak dibacakan bersama susulan satu tarikh baharu dipohon bagi kehadiran jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, kesemuanya secara bersama-sama didapati telah ada dalam jagaan mereka barang kawalan berjadual iaitu Gas Petroleum Cecair sejumlah 1,200 kg (berat kasar) .

Ia dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah untuk melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan secara borong gas petroleum cecair tanpa suatu lesen yang sah daripada pengawal.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 6.45 petang di premis tanpa nombor di Mantin, di sini, pada 30 Mei lalu.

Sehubungan itu, dia telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman seksyen itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara dalam tempoh tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Janawatul Fieza Hamisan kemudiannya meminta mahkamah memberikan jaminan RM15,000 setiap seorang dan tiada jaminan kepada Mar Thang berikutan bukan warganegara. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI