PEKAN – Baung ekor merah iaitu ikan pemangsa yang berpotensi memusnahkan ekosistem sungai menjadi ancaman utama apabila menjadi ‘penghuni’ sungai utama di tiga negeri setakat ini.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, mengikut laporan yang diterima, ikan itu mendominasi Sungai Pahang, Sungai Selangor dan Sungai Perak.
“Berdasarkan program yang dilaksanakan hari ini (semalam), kita dapati ikan baung ekor merah paling besar ditangkap seberat 21 kilogram (kg).
“(Keadaan) Ini menunjukkan ikan ini boleh membesar dalam ekosistem kita dan menjadi ancaman kepada ikan-ikan asli yang ada di sungai. Buat masa ini, kita terima laporan di Pahang, populasinya agak tinggi khususnya di Sungai Pahang.
“Kita juga terima laporan terdapat ikan sama berada di Sungai Perak dan Sungai Selangor,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Kesedaran Spesies Ikan Asing dan Pertandingan Moh Tangkap Baung Ekor Merah di Pekan Riverfront di sini semalam.
Menurut beliau, baung ekor merah merupakan ikan larangan import 1990 di bawah Jabatan Perikanan. Dari segi biologi, ikan itu boleh mencapai berat 28kg berdasarkan rekod sebelum ini.
Ia boleh membesar seperti temelian dan tapah. Baung ekor merah adalah ikan pemangsa dan memakan ikan-ikan berharga seperti patin.
“Ikan ini lasak dan boleh hidup dalam pelbagai ekosistem. Ia boleh berada di kawasan air dalam, cetek, arus laju dan tenang,” katanya.
Jelasnya, kewujudan baung ekor merah dikesan tujuh tahun lalu menyaksikan banyak program dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak bagi mengeluarkan ikan itu daripada ekosistem sungai negara.
Sejak 2022, Jabatan Perikanan melaksanakan 17 siri memburu ikan asing dan sehingga kini sebanyak 4.4 tan ikan asing dibawa keluar daripada ekosistem sungai negara.
Beliau percaya ikan itu dibawa masuk dari negara jiran oleh penternak sebelum terlepas daripada ternakan seterusnya memasuki perairan sungai negara.
Tambahnya, pihaknya juga percaya ikan itu dibawa masuk ke kolam-kolam pancing sebelum terlepas ke sungai.
“Kita tidak membenarkan ikan ini masuk cuma yang menjadi cabaran hari ini adalah ikan ini sudah ada dan boleh membiak dalam ekosistem kita. Kita agak bernasib baik kerana ikan ini masih mempunyai nilai, harganya agak baik di pasaran.
“Jadi ada komuniti yang bersedia menangkap ikan ini dan menjual di pasaran bagi menambah pendapatan,” katanya.














