PARIS – Penggempur utama Real Madrid, Kylian Mbappe tumpang gembira dengan kejayaan bekas kelabnya, Paris Saint-Germain selepas merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini menewaskan Inter Milan 5-0 di final kelmarin.
Malangnya, Mbappe gagal menjadi sebahagian daripada sejarah baharu PSG yang merangkul kejuaraan pertama mereka di pentas Eropah apabila berhijrah menyertai Real secara percuma awal musim ini.
Bintang Perancis itu langsung tidak cemburu dengan kejayaan PSG, sebaliknya berbangga dengan kejayaan bekas kelabnya merealisasikan impian menggunung tersebut.
“Hari istimewa akhirnya tiba, kemenangan ini buat seluruh kelab, tahniah PSG,” kata Mbappe.
Pada aksi final berlangsung di Allianz Arena, Munich kelmarin, PSG tampil cemerlang apabila berpesta gol membelasah Inter 5-0 menyebabkan lawan dari Itali itu terpaksa berpuas hati sekadar muncul naib juara buat kali kedua dalam tempoh tiga musim.
Pemain seperti Ousmane Dembele, Desire Doue dan Khvicha Kvaratskhelia menjadi topik utama selepas kesemuanya memainkan peranan besar buat pasukan ketika mengesahkan kejuaraan pertama kali ini.
Lebih menarik, Dembele turut diangkat sebagai pemain terbaik kejohanan sementara Doue dipilih pemain muda terbaik.
Kejayaan itu juga menyaksikan pengendali PSG, Luis Enrique muncul individu kedua dalam sejarah yang berjaya merangkul kejuaraan trebel dengan dua kelab berbeza. – AGENSI