LONDON – Seorang pramugara syarikat penerbangan British Airways digantung tugas selepas menari tanpa pakaian di dalam tandas semasa penerbangan dari kota raya San Francisco menuju London, lapor akhbar New York Post semalam.
Kru kabin pesawat superjumbo Airbus A380 itu dipercayai berada di bawah pengaruh dadah semasa kejadian.
Dia yang disedari hilang ketika waktu makan penumpang, ditemukan di dalam tandas kelas perniagaan tanpa seurat benang.
Kru penerbangan lain terpaksa memakaikannya dengan baju tidur penumpang kelas perniagaan dan mengikatnya sepanjang perjalanan selama 10 jam setengah.
“Pesawat terbang pada ketinggian 11,277 meter (37,000 kaki) di atas Lautan Atlantik, namun kru tersebut nampaknya ‘terbang lebih tinggi’ daripada orang lain.
“Kami percaya dia mengambil pil (dadah) apabila bekerja. Ia adalah perkara yang luar biasa untuk dilakukan,” kata seorang kakitangan British Airways.
Pesawat penumpang dua tingkat terbesar dunia itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Heathrow London pukul 11 pagi (waktu tempatan) semalam di mana anggota polis dan pegawai perubatan siap menunggu di landasan.
Pramugara berkenaan ditahan polis dan kes itu sedang disiasat. – AGENSI