PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Madani yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta penjawat awam yang telah berusaha keras dalam mengurus ekonomi dan pembangunan negara.
Sultan Ibrahim bertitah, kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini menjadi bukti keupayaan kepimpinan negara dalam mengeratkan kerjasama serantau dan antarabangsa.
“Walaupun ada pihak yang memandang rendah keupayaan Malaysia, dengan usaha gigih dan semangat kerjasama, terutamanya oleh penjawat awam, segala cabaran dan rintangan telah berjaya diharungi,” titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam Titah Diraja pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi 2025 bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara.
Baginda turut turut mengingatkan kepada penjawat awam supaya memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan mengamalkan prinsip Rukun Negara kedua, iaitu “Kesetiaan kepada Raja dan Negara”.
“Kesetiaan bukan maksud menyembah, tetapi jujur dan amanah dalam memikul tugas dan tanggungjawab yang diberikan, serta tidak mengkhianati negara dan amanah rakyat,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE.