DALAM masyarakat yang sering diwarnai dengan kemajuan teknologi dan kepesatan maklumat, jenayah seksual terhadap kanak-kanak masih menghantui kita bukan sebagai kisah terpencil, tetapi sebagai mimpi ngeri yang boleh menimpa sesiapa sahaja.
Lebih malang, jenayah ini kerap berlaku di sebalik dinding rumah, dalam komuniti yang kita anggap selamat.
Persoalannya, adakah kita sekadar bersimpati dan beremosi, tanpa langkah konkrit? Masyarakat perlu dididik, digerakkan dan dikuatkan untuk bertindak, bukan sekadar mengecam di media sosial.
Pakar Kriminologi dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Zalmizy Hussin berkata, masyarakat sering memandang remeh isu ini sebagai hal keluarga atau ‘tidak mahu masuk campur’ sedangkan ia adalah jenayah berat yang boleh memusnahkan masa depan seorang insan kecil.
“Jika kita tahu atau syak sesuatu yang tak kena, jangan diam. Undang-undang mewajibkan kita lapor. Kalau tidak, kita boleh dianggap sebagai bersubahat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa ramai masih belum sedar, Malaysia mempunyai perundangan yang kukuh melalui Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Kanun Keseksaan, termasuk hukuman penjara hingga 30 tahun, sebatan mandatori, dan pendaftaran sebagai pesalah seksual seumur hidup.
Namun, menurut Dr. Zalmizy, masalah utama bukan terletak pada kelemahan undang-undang, tetapi pada aspek penguatkuasaan dan proses perundangan yang perlahan.
Sebagai wartawan yang mengikuti isu sebegini sejak beberapa tahun lalu, saya menyaksikan sendiri bagaimana banyak keluarga terpaksa menanggung trauma sepanjang hayat hanya kerana sistem tidak menyebelahi mereka.
Mangsa perlu mengulang cerita, menunggu siasatan yang berbulan-bulan, malah ada yang terus disisih masyarakat.
Justeru, Dr. Zalmizy menyeru supaya pendekatan holistik diambil bukan sekadar menghukum pelaku, tetapi memastikan pemulihan psikologi mangsa serta sokongan komuniti turut diberi keutamaan.
“Jangan sesekali salahkan mangsa. Ramai yang takut bersuara kerana bimbang tidak dipercayai, dipersalahkan, malah dimarahi keluarga sendiri,” katanya.
Penulis sendiri percaya bahawa pendidikan pencegahan mestilah bermula dari rumah. Anak-anak perlu diajar berani berkata ‘tidak’ walaupun kepada orang dewasa yang mereka kenali.
Dalam dunia digital hari ini, penjenayah tidak lagi menunggu di taman permainan, mereka hadir melalui telefon pintar, permainan dalam talian dan aplikasi sembang.
Justeru, pemantauan ibu bapa terhadap anak-anak sangat penting.
Masyarakat juga harus menyedari bahawa jika seorang kanak-kanak terselamat kerana keberanian seseorang untuk bertindak, itu bermakna satu nyawa dan masa depan telah diselamatkan.
Akhirnya, kita harus tegas bahawa tiada ruang toleransi kepada jenayah ini.
Hukuman harus tegas, tetapi berpaksikan keadilan dan bukannya berasaskan keinginan untuk membalas dendam.
















