Sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencipta sejarah apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok 176 pasukan terbaik dunia untuk bertanding dalam pertandingan roket peringkat antarabangsa anjuran Tripoli Rocketry Association yang bakal berlangsung di Midland, Texas, Amerika Syarikat (AS) pada 9 hingga 14 Jun ini.
Pasukan dikenali sebagai UTM Rocketry Team itu diterajui oleh Arykummara Thava Kumar, 23, pelajar tahun akhir Fakulti Kejuruteraan Mekanikal merangkap Pengarah pasukan dan Ketua Projek, bersama-sama empat lagi ahli teras daripada pelbagai bidang kejuruteraan.
Menggunakan nama RIMAU-1, roket setinggi 2.8 meter dan berat 28 kilogram yang dibina sepenuhnya secara buatan tangan (handmade) menggunakan gentian kaca dan gentian karbon, dijangka mampu mencapai ketinggian maksimum sehingga 3,000 meter atau tiga kilometer ke udara yang merupakan syarat ketinggian yang ditetapkan.
Projek ini mula digerakkan sekitar Jun 2024, hasil inisiatif Arykummara yang mahu membina sebuah pasukan yang benar-benar komited dan berkemahiran tinggi.
Idea asal tercetus selepas mengambil inspirasi daripada penyertaan pasukan dari Universiti Sains Malaysia (USM) dalam pertandingan yang sama pada tahun 2023.
“Kami bermula dengan roket asas sebelum beralih kepada saiz lebih besar.
“Banyak cabaran kami hadapi terutama dari aspek teknikal dan sumber kewangan, namun semuanya menjadi medan pembelajaran yang amat bermakna,” katanya kepada K-Kampus.
RIMAU-1 bukan sahaja menonjol dari segi kejuruteraan, malah turut memperlihatkan semangat kerja berpasukan yang jitu.
Antara ahli pasukan utama ialah Ketua Pengurusan, Brenden Huang Hong Quan, 25, dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan Ketua Elektronik, Shivee Prakkaash Suriya Narhayhanen, 23, dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE).
Seterusnya, Ketua Hubungan Luar dan Penajaan, Raahull Kumaresan, 23, dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan Ketua Penajaan, Izzat Idlan Amir Raslan, 24, dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM).
Menurut Brenden, keseluruhan proses pembangunan roket bermula dengan percubaan pertama pada Januari dan mula dilakukan secara serius pada Mac 2025 dengan tempoh pembinaan sekitar dua bulan.

Menariknya, mereka turut menjahit sendiri sistem payung terjun roket sebagai sebahagian daripada komponen keselamatan.
Kos keseluruhan roket mencecah RM40,000. Pasukan itu juga kini giat mencari penajaan berjumlah RM100,000 bagi menampung kos penghantaran dan penginapan sepanjang berada di AS.
Pasukan ini dibimbing oleh Julian Yie Jian Chee, pakar dalam bidang aeroangkasa dan teknologi roket yang bertindak sebagai mentor utama.
Mereka turut menggunakan bahan bakar jenis pepejal iaitu ammonium perchlorate dalam sistem pendorong atau tujahan.
Menurut Shivee, penyertaan ini memberi peluang besar kepada mereka untuk belajar secara langsung daripada pakar industri termasuk wakil Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) di samping membina rangkaian profesional yang kukuh untuk masa hadapan.
“Kami amat berbangga kerana dapat mewakili Malaysia dan membawa nama UTM ke pentas dunia.
“Pada 14 Mei lalu, kami menerima keputusan rasmi dan rasa penat lelah kami akhirnya terbalas apabila kumpulan kami tersenarai ke peringkat akhir di AS nanti bersama 176 pasukan lain daripada 400 pasukan seluruh dunia,” tambahnya
Roket RIMAU-1 dibangunkan sepenuhnya di dalam kampus menggunakan fasiliti Makmal Komposit, CACM Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM.
Pasukan UTM Rocketry ini bukan sahaja membuktikan keupayaan mahasiswa Malaysia dalam bidang teknologi angkasa lepas, malah membawa harapan baharu kepada pembangunan industri aeroangkasa negara. Sementara itu, Izzat Idlan berharap ada syarikat atau individu yang dapat menghulurkan sumbangan untuk menampung kos perbelanjaan sepanjang berada di AS.
“Pasukan kami akan bertolak pada 5 Jun depan sebelum pertandingan bermula pada 9 Jun.
“Saya berharap sangat ada pihak yang boleh membiayai kos perbelanjaan sepanjang berada di Midland, Texas bagi menghadapi cabaran yang menaikkan nama Malaysia dan UTM,” jelasnya.














