BOLA sepak merupakan sukan nombor satu di Kedah sejak sekian lama. Ia dimainkan oleh semua lapisan masyarakat yang majoritinya adalah golongan petani.
Menurut sejarah, asal-usul bola sepak di Kedah dapat dikesan pada awal abad ke-20 apabila penjajah British memperkenalkannya kepada penduduk di negeri Jelapang Padi itu. Seiring peningkatan minat orang ramai terhadap bola sepak, pada tahun 1924, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) telah ditubuhkan.
Sejak tertubuhnya KFA, pasukan Kedah telah beberapa kali memenangi Piala Malaysia iaitu pertandingan bola sepak tertua dan paling berprestij di Malaysia.
Kedah FA (nama lama) pernah memenangi Piala Malaysia sebanyak lima kali iaitu pada 1990, 1993, 2007, 2008 dan 2016. Pasukan tersebut juga berjaya meraih kejayaan double treble pada musim 2007 dan 2008.
Bukan itu sahaja, pasukan Kedah telah melahirkan ramai pemain bola sepak berbakat besar yang memberi sumbangan besar kepada bola sepak negara.
Nama-nama seperti Nizaruddin Yusof, Khyril Muhymeen Zambri dan Baddrol Bakhtiar hanyalah beberapa contoh pemain Kedah yang berjaya mencuri perhatian peminat bola sepak di seluruh negara.
Malangnya, ketika meraikan ulang tahun KFA ke-100 pada tahun lalu, pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melalui satu musim yang cukup perit apabila pelbagai isu membabitkan pihak pengurusan timbul.
Salah satu isu yang besar adalah melibatkan tunggakan pembayaran gaji selama berbulan-bulan sehingga menyebabkan ada segelintir pemain enggan turun berlatih dan bermain untuk pasukan.
Terbaharu, KDA FC mungkin terpaksa menarik diri daripada Liga Super akibat kegagalan memenuhi syarat pelesenan kelab yang ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL).
Ini kerana, kelab gagal memenuhi kriteria kewangan seperti ditetapkan dalam Peraturan Pelesenan MFL Edisi 2024-2025 (MFL CLR), sekali gus menjadi punca utama lesen kebangsaan mereka ditolak.
Situasi berkenaan telah membuatkan ramai penyokong pasukan hijau kuning termasuk penulis yang merupakan anak jati Kedah berasa kecewa dan marah dengan pihak pengurusan. Hal ini kerana rata-rata penyokong bimbang sekiranya hiburan nombor satu di Kedah itu lenyap dari peta bola sepak negara pada masa depan.
Untuk makluman, kebanyakan rakyat Kedah mengganggap bola sepak bukan sekadar sukan, malah ia adalah satu bentuk hiburan buat mereka bersorak ketika meraih kemenangan, selain medan untuk masyarakat bersatu hati.
Pemilik majoriti kelab KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar dalam satu kenyataan media telah memohon maaf kepada penyokong, pemain, penaja serta kakitangan kelab yang terkesan dengan keputusan tersebut.
Sebagai orang Kedah, penulis yakin, biarpun pasukan KDA FC gagal beraksi dalam Liga Malaysia pada tahun depan, namun ia sama sekali tidak akan membunuh perasaan cinta masyarakat di sana terhadap bola sepak.
Negeri itu akan terus melahirkan bakat-bakat luar biasa dalam bola sepak pada masa depan dan liga rakyat di kampung-kampung kekal subur.






