KUALA LUMPUR – ASEAN akan melaksanakan secara konsensus segala aspek diperlukan bagi memastikan Timor Leste dapat menjadi ahli penuh blok serantau itu menjelang Oktober depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, secara dasarnya, ASEAN bersetuju untuk Timur Leste menjadi anggota penuh, namun negara itu perlu memenuhi beberapa perkara sebelum menyertai blok berkenaan.
“Timur Leste dilihat telah bekerja keras untuk memenuhi parameter (sebelum menyertai ASEAN), (seperti) politik, ekonomi dan undang-undang.
“Malaysia, Indonesia dan beberapa negara membantu dalam pelbagai cara untuk memastikan mereka memenuhi syarat diperlukan.
“Kami berpuas hati dan keputusan ialah jelas utnuk menerima Timor Leste sebagai ahli penuh menjelang sesi berikutnya pada Oktober depan,” katanya pada sidang akhbar khas selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, di sini tadi.
Terdahulu, ASEAN memberi gambaran persetujuan untuk menerima Timor Leste sebagai anggota penuh blok serantau itu, namun peranan perlu segera dimainkan negara tersebut untuk memenuhi instrumen undang-undang ditetapkan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketika ini, banyak lagi instrumen undang-undang perlu dilaksanakan Timor Leste sebelum diiktiraf sebagai anggota penuh ASEAN.
“Kita sudah lihat 84 instrumen dan turunkan kepada 66 instrumen, kebanyakkanya bawah Majlis Ekonomi ASEAN, bawah Mesyuarat Majlis Komuniti Politik- Keselamatan ASEAN (APAC) sudah buat.
“Jadi, ia bawah ekonomi (perlu dipenuhi). Timor Leste perlu berusaha dan kita cuba membantu untuk mereka dapat mematuhi instrumen undang-undang tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE