fbpx
Malaysia meraih Grand Prix atau juara keseluruhan dengan mengungguli kategori-kategori yang dipertandingkan dalam 33rd International Folklore Competition Etoiles de Paris baru-baru ini.

Gerak tari anak Malaysia ‘gegar’ kota Paris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TATKALA memilih untuk menjadi salah seorang peserta bagi pertandingan tarian rakyat antarabangsa 33rd International Folklore Competition Etoiles de Paris yang berlangsung di Perancis baru-baru ini, Muhammad Daniel Faliq Ahmad Faizal, 17, tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang.

Baginya, pengalaman menyertai sebuah pertandingan menari sehingga peringkat antarabangsa sudah cukup dihargai, memandangkan ia memberikan cabaran berbeza.

Begitu pun, pasukan Malaysia menang besar pada pertandingan itu apabila berjaya merangkul Hadiah Utama Keseluruhan (Grand Prix) dengan sembilan kategori 1st Prize dan satu kategori 2nd Prize.

Difahamkan, ini kali pertama pasukan Malaysia meraih Grand Prix dalam pertandingan tarian dan nyanyian secara berkumpulan dan individu tersebut biarpun ia merupakan acara tahunan.

Malaysia diwakili pasukan Kementerian Pendidikan Malaysia yang diselaraskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Johor, Negeri Sembilan serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kontinjen Malaysia diwakili 70 orang peserta dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan 3 Bandar Baru Bangi, SK Taman Jasmin, SK Kg. Baru Si Rusa Port Dickson, Sekolah

Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 9(2), Brainy Bunch International School, Al-Amin Darul Musthofa Elmina School, Brighton International School, Asia Pacific Schools, Sri Ayesha Islamic School, Sekolah Tinta, Tenby Setia Eco Park, SMK Seksyen 9, Kolej Tunku Kurshiah, Sekolah Tun Fatimah, Sekolah Seni Malaysia Johor, Sekolah

Seni Malaysia Kuala Lumpur, Sekolah Menengah (SM) Sains Tuanku Munawir, SMK Jalan 3, SMK Abdul Jalil, SMK Subang Utama Selangor, SMK Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Ia turut disertai pelajar-pelajar universiti dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknikal Melaka, Universiti Islam Antarabangsa, Taylor’s Universiti dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Berkongsi dengan K-Remaja, Muhammad Daniel Faliq yang mesra disapa Daniel memberitahu, kemenangan itu adalah sesuatu yang tidak dijangka sama sekali.

“Sejujurnya ketika itu kami langsung tidak fikirkan tentang kemenangan kerana apa yang ada dalam fikiran kami adalah kami mahu ‘melepasi’ persembahan di pentas antarabangsa ini,” katanya yang merupakan pelajar SMK Subang Utama.

“Bahkan, saya juga pada awalnya menjangkakan ini pertandingan biasa-biasa sahaja dan tidak sangka bahawa ia adalah sebuah pertandingan berprestij,” katanya.

Antara negara bertanding dalam pertandingan berlangsung dari 29 April hingga 10 Mei lalu ialah Indonesia, Armenia, Kyrgysztan, Ukraine dan lain-lain. Kategori dipertandingkan adalah mengikut usia.

Kumpulan Malaysia antaranya mempersembahkan tarian Borneo, tarian zapin, tarian ceracap inai dan lain-lain.

Daniel merupakan peserta yang mempersembahkan tarian zapin.

Pertandingan berlangsung di Paris, Perancis itu membuktikan kehebatan tarian anak-anak Malaysia.

Remaja tinggi lampai itu menambah, minatnya terhadap tarian timbul ketika usia 11 tahun, selepas didorong dan disokong oleh rakan-rakan serta guru sekolahnya.

Dia juga mengakui paling meminati tarian tradisional kerana menyerlahkan elemen kemelayuan, ‘kejantanan’ dan budaya di Malaysia.

Memandangkan Daniel tahun ini bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), penglibatan dalam pertandingan ke peringkat antarabangsa menuntutnya untuk bijak membahagikan masa antara minat dengan pelajaran.

“Memandangkan bakal menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi, masa yang ada agak terhad dan saya hanya berkelapangan pada hujung minggu untuk membuat semua persediaan,” katanya yang bergabung membuat persembahan dengan pelajar-pelajar sekolah lain.

Daniel turut menitipkan pesan buat remaja yang mungkin mempunyai minat dan bakat dalam seni tarian untuk tidak mensia-siakan minat dan bakat tersebut.

Ibu Daniel, Noor Sheila Dania berkongsi dia terkejut apabila anaknya yang pendiam dan agak pemalu itu ternyata mempunyai bakat tarian yang luar biasa.

Selaku ibu, dia berharap agar Daniel lebih fokus untuk mendalami bidang seni dengan lebih mendalam, selain menggalakkan ibu bapa untuk menyokong cita-cita anak.

“Nasihat saya kepada ibu bapa di luar sana agar selalulah menyokong apa yang diminati anak kerana ibu bapa ini adalah jentera bagi setiap usaha dan matlamat anak,” katanya.

Bagi pelajar SK Kampung Baru Si Rusa Port Dickson, Auni Rofifah Muhammad Anwar, 12, pasukannya yang muncul juara bagi kategori tarian berkumpulan kanak-kanak adalah sesuatu yang tidak pernah diimpikannya.

Proses latihan yang panjang terasa berbaloi apabila kumpulannya mencuri perhatian juri di pentas antarabangsa.

“Walaupun kami telah berlatih bersungguh-sungguh, saya tidak menyangka kami akan menarik perhatian juri di peringkat antarabangsa.

“Kemenangan ini adalah bukti bahawa tarian rakyat Malaysia sangat istimewa dan mampu bersinar di mata dunia,” katanya.

Auni Rofifah mengakui cabaran terbesar baginya adalah apabila terpaksa membahagikan masa dengan baik antara pelajaran dan juga proses latihan.

“Sejujurnya, kadang-kadang saya terasa sangat penat. Namun, pengalaman ini juga telah mengajar saya untuk mengurus masa dengan lebih baik lagi, tambahan pula apabila guru dan keluarga sering memberikan sokongan buat saya,” katanya.

Guru sekolah Auni Rofifah, Nor Sahada Afandi, 45, bangga apabila bakat anak muridnya bukan sahaja dapat ditonjolkan di pentas dunia, bahkan turut menjadi johan, menewaskan negara-negara lain iaitu Indonesia, Croatia, Kyrgyzstan, Ukraine, Armenia, Austria dan Perancis.

“Ini penyertaan pertama SK Kampung Baru Si Rusa ke persada antarabangsa.

“Kemenangan ini tidak dapat dijangka kerana peserta-peserta negara lain semuanya hebat belaka. Namun, dari segi penampilan awal, peserta Malaysia amat mencuri perhatian hadirin dengan busana bergemerlapan berwarna warni, kemilauan emas serta perak yang dipakai,” katanya.

Nor Sahada mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pelbagai aspek pertandingan daripada mengumpulkan dana, sesi latihan sehinggalah hari pertandingan.

“Banyak cabaran kami lalui, bersama persediaan yang dibuat sejak Januari lalu dan syukur kami pulang dengan kemenangan Grand Prix atau juara keseluruhan,” katanya mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN