ETIKA kebanyakan orang menyertai dunia e-sukan kerana minat terhadap permainan video, situasi berbeza berlaku bagi Suki Lee.
Pengasas bersama penganjur acara e-sukan dan permainan video, GamesBond tersebut memiliki latar belakang dalam bidang perubatan dan bekerja sebagai pakar pemakanan di sebuah farmasi di Kuala Lumpur.
Biarpun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang perniagaan atau e-sukan, wanita dalam lingkungan usia 30-an ini tetap berjaya mengemudi syarikatnya sehingga menonjol dalam industri e-sukan dan permainan video, khususnya di Malaysia dan Asia Tenggara.
Menurut Suki, dia mula terlibat dalam dunia e-sukan apabila rakan kongsinya, Fazli Razak membuat keputusan untuk membuka sebuah studio permainan digital di Kota Damansara, Kuala Lumpur.
“Saya bukan datang daripada latar belakang perniagaan atau e-sukan. Saya merupakan seorang pakar dietetik yang bekerja di sebuah farmasi di Kuala Lumpur.
“Minat terhadap e-sukan ini bermula apabila saya dan rakan kongsi mula membuka studio permainan, GamesBond pada tahun 2015.
“Dari detik itu, segalanya berkembang sehingga kami berjaya mencapai kejayaan seperti yang dapat dilihat hari ini,” katanya kepada K-Remaja.
Kini, GamesBond menjadi pakar dalam menganjurkan kejohanan e-sukan tempatan dan antarabangsa, terutamanya dalam permainan bola sepak seperti FIFA dan EA Sports FC.
Antara acara penting yang telah mereka anjurkan termasuk FIFAe Club Playoffs 2023 Asia dan pelancaran kejohanan EA Sports FC24.
Mereka juga pernah menjadi penganjur untuk acara seperti PlayStation Tournament Kick-Off Singapore Open dan 1Utama Esports Tournament 2022.
Selain itu, syarikat tersebut turut menawarkan perkhidmatan penyewaan peralatan permainan seperti konsol PlayStation dan simulator perlumbaan untuk acara dan majlis.

Namun, pencapaian terbesar syarikat ini adalah berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa menerusi pasukan mereka iaitu GBX Esports.
Antara pencapaian utama termasuk penyertaan dalam FIFAe Club World Cup 2022 dan FIFA 22 Global Series Asia South Qualifiers.
Mengulas lanjut mengenai GBX Esports, anak jati Kuala Lumpur tersebut mengakui terdorong untuk menubuhkan pasukan tersebut kerana ingin membantu pemain e-sukan merebut peluang menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa.
Fokus utama GBX Esports adalah pada permainan e-sukan bola sepak digital EA Sports FC (dahulunya dikenali sebagai FIFA).
Kongsinya, cabaran terbesar pada peringkat awal penubuhan pasukan adalah mendapatkan dana yang mencukupi untuk bergerak aktif dan menyokong pemain.
Hal ini kerana kategori permainan FIFA/FC memerlukan pelaburan besar untuk membina pasukan terbaik bagi menyertai pertandingan.
Namun, GBX Esports berjaya mengatasi cabaran tersebut apabila menjalin kerjasama strategik bersama kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Tambah Suki, keputusan untuk bekerjasama dengan JDT dibuat setelah pasukannya berjaya melayakkan diri ke e-Piala Dunia FIFA selama dua tahun berturut-turut.
“Melihat kepada pencapaian tersebut, saya berasakan keperluan untuk bekerjasama dengan jenama bola sepak yang lebih besar.
“Kami memilih JDT kerana kedudukan mereka yang teratas dalam arena bola sepak Malaysia dan kerjasama ini membuahkan hasil.
“Kini, visi jangka panjang saya untuk JDT | GBX Esports adalah untuk membantu lebih ramai pemain dari pelbagai kategori e-sukan agar mereka dapat bersinar di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Struktur pasukan e-sukan yang dikendalikan oleh Suki diurus secara profesional, melibatkan pemilihan jurulatih dan pemain terbaik dari Malaysia dan Indonesia.
Setiap aspek seperti latihan intensif, strategi kejohanan serta pengurusan keperluan pemain dirancang dengan teliti bagi memastikan prestasi optimum sewaktu pertandingan.
Pendekatan ini terbukti berkesan apabila pasukan berjaya menduduki tangga ketujuh dunia dalam carta rasmi FIFAe pada tahun 2022.
Pada tahun 2024, GamesBond turut berkolaborasi bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menguruskan proses pemilihan pemain untuk kejohanan FIFAe World Cup.
Hasilnya, pasukan Malaysia berjaya mencipta sejarah dengan menjuarai FIFAe World Cup buat julung kalinya dalam kejohanan yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi.
Kata Suki, perkembangan pesat industri e-sukan di Malaysia kini mendapat sokongan yang semakin meluas daripada pelbagai pihak.
“Dalam tempoh lima tahun akan datang, saya berharap lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada pemain dan industri, agar Malaysia mampu menjadi tuan rumah kejohanan bertaraf antarabangsa.
“Peranan kerajaan penting dalam memberi pengiktirafan dan pendedahan kepada masyarakat, manakala pihak swasta pula memainkan peranan utama dalam penajaan dan sokongan infrastruktur,” katanya.
Sebagai pengurus dan pengasas pasukan, Suki turut memberi penekanan kepada persiapan mental dan fizikal pemain menjelang kejohanan besar serta memastikan segala keperluan disediakan agar pemain dapat fokus sepenuhnya kepada permainan.
Sepanjang kariernya, antara kenangan paling manis ialah berpeluang membawa pasukan ke pelbagai kejohanan antarabangsa seperti di Copenhagen, Riyadh, London dan beberapa negara Asia lain.
“Sememangnya dunia e-sukan kini semakin rancak, namun saya ingin menasihatkan pemain muda yang serius dalam bidang ini agar tidak mengabaikan pendidikan.
“Pelajaran tetap menjadi asas penting dalam kehidupan walaupun setelah bergelar pemain e-sukan,” katanya.














