fbpx

Lebih ramai wanita, anak muda ASEAN diperlukan dalam pembangunan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu Perhimpunan ASEAN-AIPA Interface sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di KLCC hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Penglibatan golongan wanita dan anak muda antara diberi penekanan dalam Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN ke-14 (ASEAN-AIPA Interface) sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di sini.

Presiden AIPA, Tan Sri Johari Abdul berkata, ini kerana lebih ramai wanita diperlukan dalam pembangunan negara selain sebagai pembuat keputusan di peringkat nasional atau serantau.

“Seperti disebutkan oleh Presiden Filipina serta disokong pemimpin Vietnam dan Timor-Leste, harus ada penekanan diberikan kepada penglibatan pemimpin-pemimpin wanita dan anak muda. Ini mesej sangat kuat yang kita hendak sampaikan.

“Kita perlukan lebih ramai penyertaan wanita dalam pembangunan negara. Hampir semua pemimpin melihat kepada penyertaan golongan ini.

”Alhamdulillah, keadaan di Malaysia yang mana di beberapa bidang (penglibatan wanita dan orang muda) sangat menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Johari yang juga Yang di-Pertua Dewan Rakyat berkata, antara bidang yang mendapat penyertaan kaum wanita seperti perkhidmatan awam khususnya kakitangan sokongan yang mencapai lebih 50 peratus.

“Seterusnya perkhidmatan pendidikan juga mencapai 50 peratus penyertaan wanita, malah di kampus hampir semua populasi wanita jauh lebih hebat berbanding lelaki.

“Untuk bidang ini kita tiada masalah dan sangat baik, namun dalam bidang lain termasuk politik, kita masih lagi terkebelakang jika hendak bandingkan dengan beberapa negara lain,” katanya.

Beliau memaklumkan, justeru AIPA mahu supaya penyertaan golongan muda dan wanita diberi penekanan secara aktif.

Tambahnya, selain wanita, golongan belia ASEAN turut diberi penekanan semasa Perhimpunan ASEAN-AIPA Interface hari ini memandangkan mereka adalah pemimpin masa hadapan.

“Segala perancangan kita sama ada politik, ekonomi, sosial mahupun pendidikan perlu mengambil kira harapan dan pandangan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI