JAKARTA – Seorang wanita mengundang perhatian ramai apabila dipaksa oleh suaminya untuk mengemis di jalanan di sekitar Jakarta Timur, lapor portal berita Banjarmasin Post.
Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @ciracasinfo menunjukkan wanita itu menangis teresak-esak ketika dipaksa meminta sedekah di tepi jalan.
Lebih mengejutkan, si suami hanya menghisap rokok sambil menggendong anaknya yang masih kecil.
Rakaman itu mencatatkan lebih 169,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen.
“Sanggup merokok di depan anak” kata seorang netizen.
“Miskin tetapi masih merokok,” kata pengguna media sosial lain.
Selepas klip video itu tular, pihak berkuasa segera ke tempat kejadian dan membawa si suami dikenali sebagai AG ke hospital untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.
“AG kerap membawa isteri dan anaknya secara paksa untuk mengemis di sekitar wilayah Kelapa Dua Wetan,” tambah pihak berkuasa. – AGENSI