ALOR GAJAH – Pekerja pembersihan di Akademi Laut Malaysia (Alam) yang maut dalam nahas di Jalan Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, malam tadi sempat berjumpa kakaknya bagi membincangkan majlis perkahwinan yang dirancang berlangsung Ogos depan.
Menurut kakak mangsa, Haslindah Tahir, 48, sebelum kejadian adik bongsunya itu telah datang ke rumahnya di Sepang, Selangor bagi meminta pandangan mengadakan majlis pernikahan.
“Dia minta pandangan saya jika boleh nak buat majlis nikah dahulu kemudian baru kenduri secara sederhana di pihak perempuan, kami adik-beradik tak bantah kerana faham dia kerja biasa sahaja.
“Arwah merupakan anak bongsu daripada enam beradik, jadi dia paling banyak berkorban menjaga ibu dan ayah yang lumpuh sebelum mereka meninggal dunia,” ujarnya sebak.
Tambahnya, mereka juga sempat bergurau mengenai cenderahati yang ingin diberikan kepada tetamu pada majlis perkahwinannya nanti.
“Sebelum balik, arwah sempat meluahkan dia dah lama tidak datang ke rumah saya, tak sangka rupanya itu petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.
“Kami juga solat Asar bersama-sama sebelum dia bergerak pulang ke rumah keluarga kami di Kuala Sungai Baru,” katanya.
Dalam nahas kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa, Mohamad Zahir Tahir, 33, meninggal dunia di lokasi selepas motosikal Yamaha 135 LC yang ditunggang bertembung dengan sebuah motosikal jenis Benelli RFS150I STD. – KOSMO! ONLINE