fbpx

Shahmalarani akhiri kemarau 13 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAHMALARANI layak mendabik dada apabila berjaya meraih pingat perak Kejohanan Karate Asia 2025 kelmarin.

ATLET karate negara, C. Shahmalarani menamatkan penantian 13 tahun Malaysia untuk melihat wakil kumite mara ke pentas final apabila meraih pingat perak kategori bawah 50 kilogram (kg) wanita pada Kejohanan Karate Asia 2025 kelmarin.

Shahmalarani tewas 1-7 kepada pilihan tuan rumah, Gulshan Alimardanova dalam aksi final yang berlangsung di Kompleks Sukan Yunusobod, Uzbekistan.

Bagaimanapun, pencapaian itu tetap dianggap luar biasa kerana ini kali pertama Shahmalarani berjaya menempatkan diri di peringkat penentuan pingat dalam penyertaannya di pentas Asia selepas tujuh penampilan terdahulu.

Lebih membanggakan, dia turut mencipta kejutan ke atas juara dunia dari Kazakhstan, Moldir Zhangbyrbay dengan kemenangan bergaya 9-1 di separuh akhir.

“Bangga sangat sebab bukan mudah untuk sampai ke final. Saya berada dalam kumpulan paling sukar.

“Lawan pertama wakil China yang pernah menang gangsa AKF 2024, kemudian Jepun yang menang gangsa Liga Perdana Dunia dan paling hebat, di separuh akhir saya lawan juara dunia dari Kazakhstan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Shahmalarani sebelum itu menewaskan wakil China, Wan Junhui 8-1 di pusingan kedua, sebelum menyingkirkan pemenang gangsa Liga Perdana Dunia dari Jepun, Okazaki Aika 4-1 di suku akhir.

Kali terakhir atlet kumite negara ke final Kejohanan Asia pada 2012 menerusi R. Loganesha Rao yang meraih perak kategori bawah 55kg lelaki, juga di Tashkent.

Shahmalarani akan meneruskan misi di peringkat antarabangsa apabila berlepas ke Maghribi untuk menyertai siri Liga Perdana Dunia sebelum kembali ke tanah air menghadapi Sukan SEA Thailand 2024 pada Disember depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI