fbpx

Dua lelaki didakwa selit ‘saman’ palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua pengurus program permotoran didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan notis ‘saman hadir’ palsu bagi menipu orang ramai dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Tan Kok Ho, 43, dan Denise Tan Ying Chyuan, 47, mengaku tidak bersalah bagi tuduhan itu di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim dan Illi Marisqa Khalizan.

Mereka bersama-sama menggunakan notis ‘Saman Hadir’ yang menyerupai notis rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM.170A) sedangkan mengetahui dokumen itu adalah palsu dengan niat untuk memperdayakan orang awam.

Kesalahan dilakukan di parkir pusat beli-belah di Bukit Bintang dan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada 10 dan 11 Mei lalu. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal dan Syafika Azwa Fikri mencadangkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Peguam Phang Soon Mun yang mewakili dua lelaki itu memohon jaminan rendah iaitu RM3,000 atas alasan anak guamnya masing-masing penanggung tunggal keluarga.

Selepas mendengar permohonan, Majistret Atiqah membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin, manakala Illi Marisqa pula menetapkan RM3,500 bagi setiap tertuduh dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 2 Julai ini.

Terdahulu tular video di media sosial memaparkan seorang individu menerima kertas menyamai saman polis yang diselitkan di cermin hadapan kenderaan dan menyuarakan kebimbangan sekiranya ia adalah taktik terbaharu ‘scammer’. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI