PETALING JAYA – Kira-kira 42 peratus daripada isi rumah Malaysia kini mempunyai penggoreng udara (air fryer) dan ini menunjukkan tren penyediaan hidangan dimasak di rumah yang pantas dan mudah kini berada pada tahap yang tinggi.
Menyedari peralihan yang semakin ketara kepada kaedah memasak moden dan mudah ini, Nestle Malaysia telah melancarkan siri resipi perapan Maggi yang menambat selera pengguna penggoreng udara, termasuk pes perapan sate baharu dan juga perapan sedia ada yang lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols berkata, Malaysia merupakan salah satu pasaran yang pertama di dunia untuk memperkenalkan rangkaian produk inovatif yang dicipta untuk penggoreng udara, memudahkan penyediaan sajian kegemaran dengan cita rasa asli.
Menurut beliau, siri perapan baharu untuk penggoreng udara ini meneruskan warisan legasi yang dibina selama ini.
“Siri Maggi Pes Perapan untuk Penggoreng Udara ini mencerminkan matlamat Nestle untuk meningkatkan kualiti kehidupan melalui makanan, membolehkan individu yang sibuk dan keluarga mereka untuk menikmati cita rasa kegemaran mereka dengan persediaan ringkas.
“Pelancaran ini mencerminkan hubungan rapat Maggi dengan isi rumah Malaysia dan komitmen berterusan untuk menyediakan pengalaman memasak yang sesuai dengan keperluan gaya hidup hari ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Siri Maggi Pes Perapan untuk Penggoreng Udara (Air Fryer) ini merangkumi empat pilihan cita rasa Malaysia, setiap satu dihasilkan dengan ramuan segar dan adunan rempah-ratus tradisional.
Pes Ayam Goreng Berempah diperbuat daripada bawang segar dan adunan herba yang menyelerakan, pes ayam percik menggabungkan bawang segar, bawang putih dan serai untuk rasa pedas manis yang seimbang.
Pes Lada Hitam menggabungkan lada hitam dan bawang besar segar dan yang terbaharu adalah pes perapan sate baharu yang diperbuat daripada serai, kunyit dan rempah penuh beraroma untuk menghasilkan cita rasa yang memang digemari oleh rakyat. -KOSMO! ONLINE