BANGKOK – Seorang guru taska di wilayah Chachoengsao, Thailand menerima kecaman ramai selepas dia didapati mendera seorang kanak-kanak berumur dua tahun dengan menekan kepalanya secara kasar, lapor portal berita Bangkok Post semalam.
Rakaman video dimuat naik di laman Facebook memaparkan guru wanita itu menolak kepala kanak-kanak terbabit ketika dia cuba untuk duduk.
Ibu kepada mangsa yang dikenali sebagai Sarunporn berkata, pusat jagaan itu baru dibuka dua minggu lepas tetapi anaknya enggan dihantar setiap pagi.
“Saya menganggap tingkah laku tersebut adalah perkara biasa.
“Selepas menonton video itu, saya menyedari punca dia tidak mahu hadir ke pusat jagaan,” kata Sarunporn yang menerima video tersebut daripada kenalannya.
Klip video tular itu menyebabkan ramai ibu bapa tampil dan mendakwa bahawa anak-anak mereka mengalami layanan serupa.
Mereka juga dikatakan nekad untuk mengambil tindakan tetapi kekurangan bukti.
Ketua Pusat Perlindungan Kanak-Kanak dan Keluarga Chachoengsao, Siripong Wongphokinhiran mengesahkan telah menerima laporan daripada ibu kanak-kanak terbabit dan akan menemaninya ke pusat jagaan itu esok untuk menyiasat lebih lanjut. – AGENSI