LONDON – Seorang lelaki memecahkan cermin tingkap sebuah ambulans dan mencuri barangan milik paramedik ketika mereka merawat pesakit di England, lapor akhbar Metro UK semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 5 petang (waktu tempatan) di kawasan perumahan Sandridge Close, Harrow pada 6 Mei lalu.
Rakaman video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan lelaki tersebut memecahkan tingkap ambulans sebelum melompat masuk ke dalam.
Dia kemudian mengambil dua beg galas lalu melarikan diri.
Perkhidmatan Ambulans London menyiarkan rakaman itu serta berharap pihak berkuasa dapat menangkap pencuri terbabit.
Pemangku Ketua Eksekutif Perkhidmatan Ambulans London, Dr. Fenella Wrigley berkata: “Kakitangan kami bertindak balas terhadap kecemasan. Semasa membantu pesakit, seorang lelaki mencuri beg mereka dan merosakkan ambulans.”
Tambahnya, kerosakan pada ambulans bermaksud ia tidak dapat digunakan bagi membantu pesakit kerana perlu dibaiki.
“Kami tidak akan bertolak ansur dengan serangan ke atas kakitangan atau kenderaan kami dan akan menggesa orang ramai menghubungi polis jika mempunyai sebarang maklumat,” kata Wrigley. – AGENSI