Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) terus unggul apabila menyaksikan lebih banyak penyertaan pempamer antarabangsa dan tempatan berbanding LIMA’23.
Secara keseluruhan, LIMA edisi ke-17 ini mencatatkan penyertaan seramai 860 pempamer melibatkan 426 antarabangsa dan 434 tempatan dari 24 negara berbanding 548 pampamer pada LIMA sebelumnya.
Selain pempamer yang terdiri daripada syarikat pertahanan tempatan, peranan institusi pengajian tinggi (IPT) juga diberi keutamaan apabila diberi peluang untuk berada di pentas sama bagi menonjolkan hasil penyelidikan masing-masing.
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), turut terlibat dalam penganjuran LIMA’25 sejajar dengan kedudukan strategiknya memandangkan Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah antara pemegang taruh utama universiti itu.
Selain itu, UPNM turut diberi kepercayaan lebih besar apabila dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai universiti penyelaras bagi penyertaan institusi pengajian tinggi (IPT) pada LIMA’25 tahun ini.
Bagi mendapatkan penerangan lebih lanjut, wartawan Kosmo! Ahad, NORLIDA AKMAR IDROS menemu bual Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Pertahanan Kimia (CHEMDEF), Dr. Mohd Faiz Norrahim untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penglibatan IPT, khususnya UPNM dalam LIMA’25.
Mohd Faiz turut diiktiraf sebagai salah seorang World’s Top 2% Scientist 2024 oleh Stanford University.
KOSMO! AHAD: Kepentingan peranan IPT dan bagaimana penglibatan UPNM pada LIMA’25 kali ini?
MOHD FAIZ: LIMA menjadi platform penting dalam mengetengahkan kepakaran universiti dalam bidang keselamatan dan pertahanan.
Ia juga berupaya memperkukuhkan hubungan antara akademia, industri, agensi pertahanan melalui pemindahan pengetahuan, perancangan permohonan geran bersama serta pengkomersialan hasil penyelidikan.
Sebanyak 10 IPT menyertai LIMA’25 kali ini iaitu UPNM, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Politeknik Banting, Selangor.
Sebagai satu-satunya universiti pertahanan dalam negara, UPNM terus menunjukkan komitmen padu dalam penyertaan LIMA kali ini dengan penglibatan kali ke-4 sejak edisi ke-14, tahun 2017.
Penglibatan UPNM dalam LIMA’25 adalah manifestasi jelas kepada hasrat Naib Canselor seperti yang dinyatakan dalam Perutusan Ulung beliau, iaitu untuk memacu kesarjanaan dan membentuk kepimpinan masa hadapan melalui pelaksanaan Pelan Strategik UPNM30.
Penyertaan UPNM dalam LIMA’25 bukan sekadar platform pameran, tetapi juga sebagai wadah memperkukuh kedudukan universiti sebagai pusat rujukan dalam bidang pertahanan dan keselamatan negara, selaras dengan bidang UPNM dalam pertahanan, ketenteraan dan keselamatan.
Pada tahun ini, UPNM membawakan pelbagai pengisian yang merangkumi pameran penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang pertahanan, keselamatan, kejuruteraan, teknologi hijau, dan transformasi digital ketenteraan. Penyertaan ini juga menonjolkan peranan UPNM sebagai pemacu penyelidikan yang menyumbang secara langsung kepada daya ketahanan dan kesiapsiagaan strategik negara.
Produk yang diketengahkan pada LIMA kali ini?
Pada LIMA’25, UPNM mengetengahkan beberapa produk dan inovasi utama yang mencerminkan kepakaran penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pertahanan dan keselamatan negara.
Antaranya ialah ECOTAPIS, sistem penapisan berasaskan bahan semula jadi yang dihasilkan daripada nanoselulosa dan karbon teraktif daripada sisa pertanian kelapa sawit.
ECOTAPIS mempunyai kelebihan daripada segi sifat ringan, fleksibel dan mesra alam. Produk ini dibangunkan oleh saya sendiri.
Selain itu, UPNM turut mempamerkan RCWS-WiG (Remote Control Weapon System – Wing in Ground Effect), sistem kawalan senjata jarak jauh yang menggunakan prinsip Wing in Ground Effect untuk meningkatkan kecekapan operasi.
Produk ini dibangunkan oleh Leftenan Kolonel Prof. Madya Mohamed Tarmizi Ahmad (Bersara) daripada Fakulti Kejuruteraan UPNM.
Seterusnya, Vectors Tactidrone (Vessel Enhanced Combat Tactical Operation Response System) yang merupakan sistem taktikal maritim berautonomi, berfungsi sebagai platform pemantauan dan respons yang canggih untuk meningkatkan keupayaan operasi pertahanan laut.
Akhir sekali, UPNM juga mempamerkan MAFMS (Malaysian Armed Forces Mapper System), sistem pemetaan digital berskala pertahanan yang menyokong operasi ketenteraan dengan data peta tepat dan terkini untuk membantu perancangan misi. Kedua-dua projek ini diketuai oleh Kapt Prof. Madya Syed Nasir Alsagoff Syed Zakaria dari Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan UPNM.

Teknologi produk yang diketengahkan?
Teknologi utama yang diketengahkan oleh UPNM dalam LIMA’25 ialah ECOTAPIS, satu inovasi penapisan udara berasaskan bahan semula jadi.
ECOTAPIS dibangunkan menggunakan pendekatan biorefineri yang memanfaatkan sisa pertanian kelapa sawit yang merupakan satu sumber yang sangat banyak di Malaysia.
Sisa pertanian kelapa sawit ini digunakan untuk menghasilkan nanoselulosa dan karbon teraktif.
Gabungan dua bahan ini menghasilkan media penapis yang sangat efisien, berupaya menapis pelbagai bahan pencemar seperti gas toksik (ammonia, hidrogen sulfida, sulfur dioksida), zarah halus, dan mikroorganisma berbahaya.
Kelebihan utama ECOTAPIS terletak pada sifatnya yang biodegradasi, ringan, fleksibel, serta mudah disesuaikan dalam pelbagai bentuk mengikut keperluan dari topeng gas tentera, respirator industri sehingga penapis udara kediaman.
Selain itu, teknologi ECOTAPIS tidak bergantung kepada bahan import, menjadikannya penyelesaian kos efektif yang menyokong kelestarian alam sekitar dan ekonomi domestik.
Beberapa pihak yang mengunjungi pameran telah menyatakan minat terhadap produk ini, termasuk daripada sektor pertahanan dan industri, yang mengiktiraf keupayaan penapisan ECOTAPIS setanding atau lebih baik daripada penapis sintetik sedia ada dengan kelebihan tambahan iaitu mesra alam dan diperbuat daripada sumber tempatan.
Bagaimana LIMA membantu IPT?
Penyertaan dalam pameran seperti LIMA’25 memberi impak yang sangat besar kepada IPT khususnya UPNM dalam memperkukuhkan peranan dan keterlihatan UPNM sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi pertahanan di Malaysia.
LIMA’25 menyediakan platform strategik untuk UPNM menampilkan hasil penyelidikan dan inovasi yang berkait rapat dengan keperluan pertahanan dan keselamatan negara.
Melalui LIMA’25, para penyelidik UPNM dapat memperkenalkan teknologi baharu seperti ECOTAPIS kepada pelbagai pihak berkepentingan termasuk pemain industri pertahanan, agensi kerajaan, serta pelabur antarabangsa.
Ia menjadi ruang terbaik untuk membina jaringan kolaborasi, meneroka peluang pengkomersialan serta mendapatkan maklum balas terus daripada pengguna akhir yang dapat menambah baik produk dari segi fungsi dan aplikasi.
Lebih penting, LIMA’25 juga membantu mengangkat kesarjanaan dalam aspek reputasi akademik dan penyelidikan UPNM ke peringkat lebih tinggi, bukan sahaja dalam negara malah di peringkat serantau dan antarabangsa.
Ia membuka ruang kepada UPNM untuk meneroka geran antarabangsa, mewujudkan usahasama strategik, dan membina kepimpinan pemikiran dalam bidang keselamatan, teknologi hijau, dan pertahanan moden.
Harapan untuk LIMA seterusnya?
Menjelang ulang tahun dua dekad penubuhannya pada 2026, UPNM komited untuk terus melangkah ke hadapan sebagai hab pemikiran strategik dan teknologi pertahanan. Universiti ini berharap agar LIMA kekal menjadi platform utama penyelidikan, kolaborasi dan inovasi yang menyatukan industri, agensi kerajaan, penyelidik dan komuniti pertahanan negara dan antarabangsa.
Bagi pihak UPNM sendiri, kami berharap dapat terus menampilkan lebih banyak inovasi berimpak tinggi, hasil penyelidikan yang bukan sahaja menyumbang kepada agenda keselamatan negara, tetapi juga menyokong pembangunan lestari dan teknologi hijau.
Selaras dengan aspirasi UPNM30, kami ingin melihat lebih banyak ruang untuk universiti mempersembahkan inovasi teknologi hijau dan keselamatan yang boleh dikomersialkan dan dimanfaatkan secara langsung oleh industri dan rakyat.
Ini penting bagi memastikan hasil inovasi dapat memberi manfaat nyata kepada rakyat, industri, dan negara secara menyeluruh.
Harapan kami ialah untuk menjadikan hasil penyelidikan UPNM sebagai sebahagian daripada warisan strategik negara, satu legasi yang kekal dan berkembang demi masa depan pertahanan Malaysia.














