fbpx
PESERTA-PESERTA perkhemahan menikmati suasana yang mendamaikan berhampiran jeram kecil.

Berkhemah di air terjun Sofia Jane

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKUKAN aktiviti luar merupakan rutin buat pemuda itu di hujung minggu atau ketika mengisi masa lapang bersama keluarga atau rakan-rakan.

Dia yang gemar melakukan aktiviti mendaki gunung, larian denai dan berkhemah turut memberi pendedahan kepada anaknya tentang aktiviti tersebut.

Pada masa sama semua aktiviti berkenaan turut dilakukan bersama rakan-rakan di bawah kumpulan Yolo Outdoor.

Sebagai salah seorang pengasas, Abdullah Assoari berkata, antara aktiviti yang kerap dilakukan adalah berkhemah di ​air terjun Sofea Jane atau juga dikenali sebagai Jeram Kubang Gajah di Kemensah, Selangor.

“Air terjun Sofea Jane merupakan antara lokasi berkumpul bersama rakan-rakan untuk keluar sebentar dari kesibukan kota dan pada masa sama melepas gian untuk beraktiviti luar.

“Biasanya kami berkhemah di sini pada hujung minggu ketika tiada program luar seperti mendaki gunung atau larian denai bersama Yolo Outdoor,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di Cheras, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, antara sebab air terjun Sofea Jane menjadi lokasi pilihan mereka adalah kerana dekat dengan Kuala Lumpur dan laluan denai ke sana tidak begitu sukar, sangat sesuai untuk membawa keluarga dan anak kecil.

AIR terjun Sofea Jane terletak di Kemensah, Selangor, dekat Kuala Lumpur.

Untuk ke tapak perkhemahan Sofea Jane, pengunjung boleh berkumpul di ATV Adventure Park Kuala Lumpur yang menjadi titik permulaan paling popular untuk menuju ke Sofea Jane.

Terdapat dua cara untuk ke sana iaitu mendaki atau menaiki ATV, tetapi biasanya Abdullah memilih untuk berjalan kaki bagi benar-benar merasai suasana hutan.

Trek sepanjang tiga kilometer tersebut hanya mengambil masa sekitar 45 minit secara merentas laluan yang agak mencabar dengan sedikit tanjakan dan permukaan berlumpur. 

Namun, pemandangan hijau dan bunyi unggas menyambut kami sepanjang jalan, menjadikan pendakian itu suatu terapi.

“Apabila tiba di tapak perkhemahan, kami disambut dengan bunyi deruan air yang menyegarkan.

“Kawasannya agak lapang, sesuai untuk beberapa kumpulan berkhemah dalam satu masa. Kami mendirikan khemah berhampiran jeram kecil dan menyediakan ruang memasak ringkas,” ujarnya.

Katanya lagi meskipun terletak di dalam hutan, terdapat kemudahan asas seperti tandas tersedia tidak jauh dari kawasan khemah. 

Yuran yang dikenakan juga sangat berpatutan iaitu RM20 untuk satu malam berkhemah, dan hanya RM5 untuk masuk ke kawasan air terjun. Tempat parkir yang dikenakan RM5 setiap kereta.

PARA peserta yang mengikuti perkhemahan merakamkan gambar kenangan bersama.

Selepas selesai mendirikan khemah, aktiviti wajib dilakukan adalah menikmati kesejukan air terjun yang jernih dan sangat menyegarkan terutama selepas pendakian ke lokasi 

Beberapa rakan mengambil peluang untuk terjun dari batu besar, manakala yang lain sekadar berendam sambil berbual santai.

Selain berkhemah, terdapat aktiviti lain yang juga boleh dilakukan seperti abseiling yang amat mencabar dan menyeronokkan, menuruni dinding air terjun setinggi hampir 15 meter dengan tali keselamatan dan dibantu oleh instruktur berpengalaman dan mesra.

“Menjelang malam pula kami berkumpul di sekeliling unggun api kecil, berkongsi cerita sambil menikmati makanan yang dimasak sendiri seperti mi segera, sosej bakar dan jagung panggang. 

“Jauh daripada bunyi enjin dan pencemaran cahaya, langit malam begitu menakjubkan dengan taburan bintang yang jelas kelihatan,” kongsi Abdullah.

Ujarnya lagi, pada keesokan hari, mereka akan bangun awal untuk menikmati suasana subuh yang damai. 

Selepas bersarapan ringan, mereka mengemas tapak perkhemahan dan memastikan tiada sampah ditinggalkan. 

“Prinsip ‘Leave No Trace’ sangat kami titik beratkan agar keindahan tempat ini terus terpelihara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN