PETALING JAYA – Rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak berhubung pengurusan sumber asli perlu dilaksanakan dengan tenang, matang dan penuh semangat muhibah bagi mengelakkan ketegangan tidak perlu pada waktu yang sensitif ketika ini.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kenyataan-kenyataan awam yang tidak berhati-hati berisiko menggugat keharmonian persekutuan ketika kedua-dua pihak sedang berusaha mencari titik persefahaman dalam menguruskan hasil bumi Sarawak.
Beliau menyifatkan, pengumuman deklarasi bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak sebagai satu langkah positif ke arah dialog yang lebih konstruktif dan adil, namun menegaskan bahawa persoalan sebenar terletak pada pelaksanaan sebenar perjanjian tersebut.
“Apa makna sebenar ‘penyelarasan’ Akta Pembangunan Petroleum (PDA) dengan Ordinan Pengagihan Gas (DGO) Sarawak? Jika Petronas tidak lagi memerlukan lesen tetapi perlu memohon pengecualian, bagaimana mekanisme itu akan dilaksanakan secara praktikal?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal turut mengakui bahawa tuntutan Sarawak untuk mendapatkan kawalan yang lebih besar terhadap sumber asli adalah sah dan wajar, khususnya dalam memastikan keadilan pembangunan untuk negeri-negeri yang kaya sumber.
Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa peranan strategik Petronas sebagai syarikat minyak nasional perlu terus dipelihara bagi memastikan kestabilan ekonomi dan manfaat jangka panjang kepada seluruh negara.
“Kerangka yang bakal dipersetujui mestilah kukuh dari sudut komersial, perundangan dan teknikal agar ia benar-benar berdaya tahan dan memberi manfaat kepada Sarawak serta Malaysia secara keseluruhannya,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kejayaan rundingan tersebut akan bergantung kepada keupayaan kedua-dua pihak membentuk perjanjian yang seimbang, telus dan mampu meyakinkan rakyat serta pelabur.
“Dengan semangat muhibah dan kepimpinan berwibawa, saya yakin satu penyelesaian menang-menang dapat dicapai, yang bukan sahaja mengangkat Sarawak, malah turut memperkukuh persekutuan dan menjamin masa depan Malaysia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE