DUNGUN – Seorang pengusaha produk air sarang burung walit kerugian RM12,800 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menawarkan kononnya tender pembekalan cederahati kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, pada mulanya, wanita berusia 44 tahun itu telah dihubungi oleh seorang lelaki yang kononnya mahu menempah 120 botol air sarang burung walit daripadanya.
Beliau berkata, suspek mendakwa kononnya pegawai polis yang bertugas di IPK Terengganu, Kuala Terengganu.
“Suspek mendakwa tempahan air sarang burung walit itu untuk majlis yang kononnya diadakan di IPK Terengganu, semalam.
“Pembayaran didakwa kononnya akan dilunaskan selepas penghantaran. Mangsa mempercayai kerana suspek mengemukakan notis seakan LO (pesanan tempatan) pembekalan kerajaan,” katanya di sini, hari ini.
Maizura berkata, suspek kemudiannya menawarkan pengusaha berkenaan untuk membekalkan pula cederahati berupa keris hiasan dengan memberi maklumat kononnya syarikat pembekal cenderahati untuk dihubungi.
Beliau berkata, mangsa yang berurusan dengan wakil syarikat pembekal terbabit menerusi aplikasi WhatsApp membuat pembayaran RM12,800 menerusi dua kali pembayaran,” katanya.
Maizura berkata, wanita terbabit hanya menyedari dirinya tertipu setelah wakil syarikat pembekal tersebut gagal dihubungi lagi ketika dia mahu membuat tempahan tambahan RM35,000. – KOSMO! ONLINE