DENGAN niat untuk menambah ilmu telah mendorong Athirah Izati Iszam, 35, untuk hadir ke Masjid Asy-Syakirin di KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tujuannya hadir ke masjid tersebut adalah untuk bersama menyertai satu acara komuniti ‘Wanita Itu: Khadijah RA’ yang diadakan di situ.
Sebagai seorang wanita dan isteri dalam rumah tangga, Athirah melihat itu peluangnya untuk mendengar ceramah mengenai keperibadian isteri junjungan besar
Rasulullah SAW, Saidatina Khadijah Khuwailid untuk dijadikan suri teladan.
“Saya dalam fasa untuk menambah ilmu ke arah kerohanian, jika saya tidak mencari saya tidak akan jumpa.
“Oleh itu, saya memilih untuk hadir ke majlis ilmu sebegini dan mendengar perkongsian ceramah yang disampaikan dan menambah ilmu,” katanya yang merupakan ibu kepada tiga cahaya mata.
Acara komunti ‘Wanita Itu: Khadijah RA’ yang dianjurkan itu ternyata telah mendapat sambutan apabila hampir 2,400 peserta menyertainya. Majlis ilmu tersebut berupa penyampaian ceramah berinspirasikan Khadijah r.a yang merupakan seorang wanita, isteri, ibu dan juga ahli perniagaan berjaya.
Secara amnya, acara tersebut mengumpulkan wanita dan usahawan yang mahu menjadikan Khadijah sebagai inspirasi.
Acara tersebut merupakan satu bentuk majlis ilmu yang bermula sebagai sebuah inisiatif peribadi kecil seorang wanita, Noor Amy Ismail yang telah berkembang menjadi sebuah gerakan komuniti yang luar biasa.
Penyertaan untuk acara itu juga peningkatan yang signifikan daripada 500 peserta pada penganjuran pertama Solat Tasbih yang dianjurkannya. Kini, majlis ilmu yang keempat dianjurkannya itu mencecah angka luar biasa hasil sokongan masyarakat serta kuasa media sosial.
Malah, peserta yang hadir datang dari seluruh negara termasuk dari negara jiran Brunei dan Singapura.
Noor Amy berkata, majlis ilmu ini mengangkat semangat wanita pertama dalam sejarah Islam yang merupakan pelabur utama serta pendukung dakwah Rasulullah SAW iaitu Saidatina Khadijah, sebagai simbol kekuatan, keusahawanan dan kepimpinan wanita berlandaskan keimanan.

Menurutnya, apa yang menjadikan acara ini unik ialah ia lahir sepenuhnya daripada komuniti, bukan hasil penganjuran organisasi rasmi.
“Acara ini dapat dijayakan daripada gabungan individu dan masyarakat yang bersatu atas niat membina ruang ilmu, menyebarkan kebaikan dan memartabatkan peranan wanita Muslim moden berasaskan inspirasi sahih.
“Saya sendiri tidak menjangka majlis ilmu ini mendapat sambutan sebegini besar, daripada 500 kehadiran pada majlis peribadi yang pertama saya anjurkan bertambah kepada 2,400 kehadiran dalam majlis keempat bagi tempoh masa lima bulan, ini bukan kerana saya, tetapi kerana kekuatan komuniti media sosial.
“Acara ini dibina atas kasih sayang, semangat ukhuwah dan aspirasi untuk mengangkat kembali warisan Saidatina Khadijah RA dalam konteks dunia moden,” katanya.
Tambahnya, dia bersama komuniti akan akan meneruskan program ilmu sebegini secara percuma.
Bagi memudahkan tetamu yang hadir, pihak penganjur turut menyediakan ruangan penjagaan untuk kaum ibu yang hadir bersama anak-anak kecil.
Noor Amy berkata, majlis ilmu itu juga mendapat sokongan luar biasa daripada Imam Masjid Asy-Syakirin, Ustaz Naufal Mahfuzillah serta pasukan pentadbiran masjid yang sentiasa membuka ruang dan memberi galakan penuh terhadap penganjuran majlis-majlis ilmu.
“Lebih mengharukan, ramai usahawan mikro dan syarikat pemula (start-up) tempatan tampil menyokong acara ini.
“Saya juga membuka platform ini secara percuma kepada mereka untuk memperkenalkan produk dan mencipta kesedaran jenama, satu langkah memperkukuh semangat ekonomi komuniti yang saling menyokong,” ujarnya.
Majlis ilmu yang dianjurkan itu turut menyaksikan penyertaan aktif dari jenama korporat tempatan dan antarabangsa, antaranya Wahed, platform pelaburan Islamik global berpangkalan di New York dan kini beroperasi di enam negara termasuk Kuala Lumpur, London, Dubai, Qatar dan India.
Ketua Pegawai Eksekutif, Wahed Malaysia, Zayan Yassin berkata, Saidatina Khadijah bukan sekadar simbol wanita beriman, tetapi ikon pelabur strategik yang membawa impak besar terhadap perubahan dunia.
“Misi Wahed adalah untuk memastikan lebih ramai wanita hari ini memahami pelaburan dari perspektif syariah dan lebih penting, mempunyai akses untuk memulakannya,” katanya.
Bertemakan ‘Di Sebalik Kekasih Rasul’, ceramah disampaikan oleh pendakwah, Ustazah Nazirah Abu Bakar.
Turut hadir ialah Qariah Negeri Pulau Pinang, Ustazah Awatif Majid yang menjuarai pertandingan sebanyak tujuh kali bagi membawa aura Al-Quran ke tengah khalayak dan membimbing peserta dalam membaca surah Al-Fatihah dengan betul.
Sementara itu, Ustazah Nazirah berkata, Khadijah RA adalah wanita yang cintanya kepada Rasulullah SAW bukan sekadar emosi, tetapi tindakan.
“Dia menyokong dengan harta, jiwa dan seluruh keyakinannya. Inilah pelajaran besar kepada kita hari ini, bahawa wanita beriman juga mampu menjadi pembina peradaban,” katanya.
Dalam majlis ilmu itu, dia turut menyentuh dua perkara mengenai Khadijah RA.
“Perkara pertama saya akan sampaikan tentang dirinya sendiri dan keduanya kita menerokai bagaimana mahu menjadi setenang Khadijah RA dengan mengambil pelajaran daripada surah Al-Fatihah.
“Ini penting kerana surah ini selalu kita baca setiap hari dan bagaimana kita hendak tenang dengannya, sebagaimana Khadijah RA membawa ketenangan dalam hidup dan perjuangannya bersama Rasulullah SAW,” jelas Ustazah Nazirah.














