Tidak kira dalam apa jua situasi, warga maya bagai manusia-manusia yang serba tahu melakukan bukan sahaja kerja hakim, pendakwa raya, peguam, polis bahkan Tuhan mengikut pertimbangan kepala sendiri.

Andai ibu gajah seorang manusia…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Hari ini kita melihat double standard melampau netizen apabila seekor ibu gajah dipuja-puja kerana menunjukkan kasih kepada anaknya yang mati dilanggar, manakala seorang ibu manusia dicerca kerana anaknya mati dalam kebakaran sehingga menangis hiba.

Agaknya kalau ibu gajah itu seorang manusia, pasti akan ada apa jua salahnya dicari atau dicipta untuk memenuhi tembolok mazmumah masing-masing yakni terlalu suka berkata-kata atau syarhu al-kalam. Barangkali ada ramai yang mengatakan ‘ibu gajah tidak pandai jaga anak’, ‘ibu gajah sibuk makan’ dan sebagainya.

Yang menyelamatkan gajah daripada ‘mulut jahat’ manusia adalah kerana ia bukan manusia.

Banyak orang hari ini berpenyakit rohani suka berkata-kata atau banyak cakap yang tergolong 10 sifat terkeji dalam Islam. Masing-masing sibuk hendak bercakap tidak kira hal yang tahu, ragu atau tidak tahu. Dalam sibuk mengata salah orang, diri sendiri bergelumang tahi dosa.

Mungkin juga manusia hari ini lebih mudah tersentuh dan menyelami hati binatang daripada manusia sendiri. Moga-moga mereka juga dapat merasai raungan batin puluhan ribu ibu di Gaza yang kematian anak sama macam menghayati kematian seekor anak gajah yang melintas jalan.

Melihat di media sosial dengan segala macam fantasi mengenai gajah sehingga gajah-gajah di tempat lain termasuk gajah jantan juga dijadikan ibu gajah dalam kemalangan di laluan Gerik-Jeli itu sungguh memualkan, ia sudah lebih daripada simpati yang sewajarnya.

Sementara seorang ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut dalam kebakaran di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong berendam air mata apabila bukan sahaja kehilangan anak, tetapi dipersalahkan orang ramai atas kejadian yang berlaku.

“Orang pandai cakap tak jaga anak. Siapa tak jaga anak? Siapa kita mak nak bagi anak mati? Netizen-netizen hanya mulut-mulut yang pandai bercakap,” kata Siti Zaharah Borhan, 43, dengan esak tangis menerusi satu video yang dikongsikan media sosial Kosmo!.

Nampaknya manusia zaman sekarang memang kerjanya suka menyakiti hati orang lain. Perkara yang baik pun boleh dilihat buruk di tangan netizen. Ramai juga yang begitu cepat menghukum dalam satu-satu insiden.

Kewujudan media sosial zaman kini bukan sahaja banyak melahirkan ‘wartawan-wartawan’ tidak bertauliah tetapi juga ‘kader-kader’ dakyah dan ‘hakim-hakim’ yang begitu cepat menghukum.

Tidak kira dalam apa jua situasi, warga maya bagai manusia-manusia yang serba tahu melakukan bukan sahaja kerja hakim, pendakwa raya, peguam, polis bahkan Tuhan mengikut pertimbangan kepala sendiri.

Dalam satu kes yang lain pula buat kita tepuk dahi apabila ramai mengaku hendak bantu bayar jaminan kepada seorang tertuduh berkait kemalangan yang mengorbankan sembilan anggota keselamatan seolah-olah mereka kenal luar dalam si polan dan benar-benar tahu apa yang berlaku.

Akhirnya, tertuduh itu yang asalnya dipenjara kerana gagal membayar jaminan RM6,000 tidak pun bebas dengan duit netizen sebaliknya duit majikannya. Ternyata orang ramai hari ini memang sekadar suka bercakap dan sibukkan hal orang lain daripada hal sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN