PETALING JAYA – Pengambilan ikan haruan di peringkat awal selepas pembedahan perlu dikawal bagi mengelak pembentukan tisu secara berlebihan.
Public Health Malaysia dalam satu hantaran berkata, jika ikan haruan diambil terlalu cepat, ia berpotensi merangsang pembentukan tisu secara berlebihan yang secara teori boleh menyebabkan parut dalaman (fibrosis) atau luka melekat, terutama untuk pembedahan dalam perut.
“Ramai percaya ikan haruan bantu sembuhkan luka dan ya, memang benar secara saintifik.
“Ikan haruan kaya dengan protein dan asid amino seperti arginin dan glisin, yang penting untuk pembentukan kolagen dan pertumbuhan semula tisu,” katanya.
Bagaimanapun katanya, pesakit yang baru menjalani pembedahan perlu berhati-hati jika diambil terlalu awal kerana ketika itu luka masih dalam fasa radang dan pemulihan asas.
“Tiada kajian yang membuktikan kesan buruk ini secara langsung, tetapi secara biologi, berdasarkan tindak balas tisu terhadap protein tinggi dan faktor pertumbuhan.
“Tunggulah sekurang-kurangnya tujuh hingga 10 hari selepas pembedahan, pastikan luka kering, tiada jangkitan, dan paling penting dapatkan nasihat doktor dahulu sebelum mula mengambil suplemen ikan haruan,” katanya. – KOSMO! ONLINE