KUANTAN – Seorang kerani wanita berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM649,150 lesap selepas dia terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kejadian di Rompin itu bermula Mac lalu selepas mangsa yang berumur 52 tahun melihat satu iklan mengenai pelaburan saham ketika melayari laman Facebook.
“Mangsa kemudian menekan pautan iklan tersebut dan selepas itu menerima satu mesej daripada seorang individu bernama Elaine yang mengajaknya untuk menyertai satu kumpulan WhatsApp.
“Mangsa kemudiannya mula membuat pelaburan bermula dari 20 Mac 2025 hingga 09 Mei 2025 ke beberapa akaun syarikat yang diberikan oleh suspek,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, setelah membuat kesemua pindahan wang, mangsa menyedari menjadi mangsa penipuan pelaburan dan mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM649,150.
Katanya, berdasarkan siastaan awal polis mendapati mangsa menggunakan wang simpanan miliknya.-KOSMO! ONLINE