RIO DE JANEIRO – Ketua jurulatih Botafogo, Renato Paiva tidak menolak kemungkinan Cristiano Ronaldo bakal menyertai kelab Brazil itu selepas timbul laporan mengenai tawaran istimewa menjelang saingan Piala Dunia Kelab 2025 di Amerika Syarikat.
Paiva ketika ditanya mengenai khabar angin tersebut, mengakui sukar untuk menolak peluang melatih pemain bertaraf legenda seperti Ronaldo.
“Kalau dia datang, tak mungkin kita tolak bintang macam tu. Saya tak tahu apa-apa, cuma jawab soalan. Sebagai jurulatih, kita sentiasa mahu pemain terbaik.
“Walaupun pada usianya sekarang, Ronaldo masih mesin gol. Dalam pasukan yang mencipta banyak peluang, dia pasti beri impak,” katanya.
Botafogo menyertai Fluminense, Flamengo dan Palmeiras selaku empat wakil Brazil ke Piala Dunia Kelab 2025 yang bakal membuka tirai edisi sulung 32 pasukan di Amerika Syarikat, dari 14 Jun hingga 13 Julai depan.
Terdahulu terdapat laporan yang mendakwa Ronaldo menerima tawaran lumayan daripada sebuah kelab Brazil tanpa nama yang berhasrat membawanya beraksi di pentas dunia.
Namun, Paiva memberi bayangan hanya pemilik Botafogo dari Amerika Syarikat, John Textor boleh menjawab persoalan sebenar.
Al Nassr tidak tersenarai ke Piala Dunia Kelab selepas musim tanpa trofi, sementara Cristiano Ronaldo yang meledak 33 gol dalam 39 aksi juga belum menyambung kontrak yang bakal tamat 30 Jun ini. – AGENSI