PETALING JAYA – Lubuk warga Myanmar untuk berhibur sambil ditemani gadis pelayan pelanggan (GRO) diserbu pihak berkuasa tengah malam tadi.
Serbuan ke atas pusat hiburan yang beroperasi secara haram di Bandar Manjalara, Kepong itu bermula kira-kira pukul 12.10 tengah malam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan tersebut dilakukan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Beliau berkata, hasil serbuan terbabit, pihaknya berjaya menahan 20 individu warga Myanmar berusia 18 hingga 39 tahun.
“Kesemua yang ditahan terdiri daripada tujuh wanita disyaki GRO, seorang penjaga premis dan pekerja serta 11 pelanggan lelaki. Turut dirampas beberapa peralatan audio, dekoder, tablet, minuman keras, buku resit jualan serta wang tunai.
“Siasatan awal mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan serta menggajikan pekerja asing secara tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, siasatan lanjut mendapati premis berkenaan menyediakan dua bilik karaoke hanya untuk pelanggan warga Myanmar berkonsepkan KTV.
“Pemeriksaan lanjut ke atas warga asing itu mendapati ada antara mereka menyalahgunakan pas lawatan sosial serta tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 serta Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992,” katanya. – KOSMO! ONLINE