SUNGAI PETANI – Kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard milik Ustaz Mohd. Firdaus Mat Akhir, 37, yang dilaporkan hilang di Ipoh pada Sabtu lalu telah ditemui di Bukit Merah, Perak pada petang semalam.
MPV bernombor pendaftaran VM7515 itu ditemui ditinggalkan di satu kawasan dalam keadaan sempurna dan tidak mengalami sebarang kerosakan.
Menurut Mohd Firdaus, walau bagaimanapun seunit dron dan kamera DSLR berserta lensa yang sebelum ini berada dalam kenderaan itu didapati hilang.
“Saya telah membuat pengecaman melalui gambar yang dihantar oleh pihak polis dan memang jelas itu kereta milik saya,” katanya yang dihubungi sebentar tadi.
Menurut Pengarah Urusan Firabib Group Sdn. Bhd. itu lagi, sebaik ditemui MPV tersebut telah dibawa untuk proses selanjutnya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
“Pihak polis menghubungi saya memaklumkan penemuan kereta itu dan saya kini dalam perjalanan ke sana.
“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin membantu mencari kenderaan ini selain tidak lupa mengucapkan syukur
kepada Allah,” ujarnya.
Tambahnya, dia memohon supaya sesiapa yang mempunyai maklumat atau ada mengetahui individu yang hendak menjual dron atau kamera secara murah supaya menghubunginya dengan kadar segera.
Kosmo! Online pada semalam melaporkan individu yang menjumpai kenderaan mewah jenis Toyota Alphard yang hilang semasa diparkir di sebuah hotel di Sungai Senam, Ipoh,Perak pada Sabtu akan diberi ganjaran berjumlah RM3,000.
Pengarah Urusan Firabib Group Sdn Bhd, Mohd Firdaus yang merupakan pemilik kenderaan itu berkata, sagu hati tambahan sebanyak RM1,000 lagi akan diberikan sekiranya dron dan kamera DSLR berserta lensa yang berada di MPV itu turut berjaya dipulangkan dengan selamat.-KOSMO! ONLINE.