PETALING JAYA – Pendakwah selebriti PU Riz menegur sebilangan pempengaruh yang terlalu terbuka berkongsi hal dalam kelambu atau rumah tangga secara umum kepada khalayak.
Haris atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd. Ismail, 30, berkata, budaya berkongsi masalah peribadi tidak sepatutnya dijadikan satu kelaziman dalam kalangan masyarakat.
“Kepada yang punyai sedikit ‘pengaruh’ dalam sosial media, yang tidak menutup aurat dan suka berkongsi semua kebaikan, berhati-hatilah.
“Mereka yang gemar menunjukkan hal-hal rumah tangga sama ada baik mahupun buruk, ada baiknya tutup sahaja,” katanya satu hantaran dalam Instagram.
Tidak terhenti di situ, suami kepada usahawan dan selebriti popular, Neelofa itu turut mengingatkan tentang hadis Nabi Muhammad SAW yang mengecam perbuatan mendedahkan dosa secara terang-terangan.
“Apabila kita lihat dari sudut pendalilan, apa sahaja yang dbuat terbuka ini yang dihebohkan ini lebih dimarah Tuhan berbanding yang tutup.
“Kata Nabi SAW: Seluruh umatku akan diampuni, kecuali orang-orang yang terang-terangan melakukan dosa (secara terbuka).
“Tutup, tutup. Semoga Allah ampunkan kita semua,” katanya.
Sebelum ini, beberapa figura terkenal mencetuskan kontroversi apabila bertindak membuka aib pasangan masing-masing, sekali gus mencetus perdebatan hangat dalam kalangan netizen. – KOSMO! ONLINE