WASHINGTON – Bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden disahkan mengidap kanser prostat ‘agresif’ yang telah merebak ke bahagian tulang, dan sedang meneliti pilihan rawatan, kata pejabatnya semalam.
Jumaat lepas, bekas presiden daripada Parti Demokrat berumur 82 tahun itu didiagnosis dengan kanser prostat selepas mengalami masalah kencing dan penemuan nodul prostat.
“Walaupun ia mewakili bentuk penyakit yang lebih agresif, kanser ini sensitif kepada hormon, membolehkan rawatan secara berkesan. Biden dan keluarganya masih meneliti pilihan rawatan yang ada,” kata pejabat beliau.
Presiden AS, Donald Trump yang sekian lama mengejek seteru politiknya itu berkata, beliau sedih mendengar berita tersebut.
“Kami menyampaikan ucapan selamat dan terbaik kami kepada Jill (isteri Biden) sekeluarga dan kami mendoakan semoga Biden cepat sembuh,” kata Trump di laman Truth Social.
Kanser prostat adalah kanser paling biasa dihidapi kaum lelaki, dengan Persatuan Kanser Amerika melaporkan, satu daripada lapan lelaki AS pernah menghidapnya dalam hayat mereka.
Walaupun penyakit itu boleh dirawat jika dikesan awal, ia adalah kanser yang menyebabkan kematian kedua terbesar dalam kalangan lelaki.
Terapi hormon adalah rawatan biasa yang boleh mengecilkan tumor dan melambatkan pertumbuhan kanser, tetapi bukan penawar.
Biden meletak jawatan pada Januari tahun ini sebagai presiden AS tertua dalam sejarah. – AFP