DORTMUND – Pengurusan tertinggi Borussia Dortmund berbangga dengan sentuhan ‘magis’ yang dipamerkan oleh ketua jurulatih, Niko Kovac untuk membantu pasukan layak ke Liga Juara-Juara (UCL) pada aksi terakhir Bundesliga awal pagi semalam.
Sebagai rekod, Dortmund berjaya melakar kemenangan 3-0 ke atas Holstein Kiel pada perlawanan terakhir untuk mengatasi kedudukan Freiburg dengan menamatkan saingan di kedudukan keempat musim ini.
Pengarah sukan Dortmund, Lars Ricken mengakui apa yang dilakukan oleh Kovac sangat luar biasa terutama apabila berjaya meraih lima kemenangan berturut-turut pada lima aksi terakhir musim ini.
“Beberapa bulan lepas, kita hanya berada di kedudukan ke-11 liga dan kemudian barisan kejurulatihan terpaksa dirombak dengan melantik Kovac sebagai pengganti.
“Saya sudah berada dalam pengurusan tertinggi Dortmund untuk tempoh yang lama dan apa yang Kovac lakukan adalah yang terbaik dalam sejarah pasukan sehingga menaikkan kembali tahap keyakinan pemain,” katanya. – AGENSI