fbpx

Laluan mudah regu berpasukan ke final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALAYSIA (jersi kuning) tiada masalah menewaskan Korea Selatan dalam aksi terakhir untuk menjuarai Kumpulan B semalam. - SYAKIR RADIN

PASUKAN sepak takraw negara dijangka berdepan aksi sukar bagi menamatkan kemarau kejuaraan selama 34 tahun dalam acara regu berpasukan pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Ia berikutan ketiadaan perejam muda negara, Khairul Aman Mohd. Rosdi yang mungkin terpaksa diketepikan sehingga tamat kejohanan selepas dimasukkan ke hospital akibat masalah kesihatan dalaman.

Ketiadaan pemain muda dari Terengganu itu pastinya membuatkan ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun pening kepala menjelang aksi separuh akhir menentang India yang akan berlangsung hari ini.

Sekiranya menang ke atas India, Malaysia dijangka membuat perhitungan menentang musuh tradisi, Thailand yang akan bertemu Korea Selatan di separuh akhir.

Menerusi satu hantaran Facebook dimuat naik Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan, beliau berkongsi berita gembira mengenai Khairul Aman yang sudah selamat menjalani pembedahan kecil.

KHAIRUL AMAN tidak dapat beraksi di separuh akhir hari ini berikutan masalah kesihatan hingga dikejarkan ke hospital kelmarin. – SYAKIR RADIN

“Sebentar tadi saya dapat bercakap dengan Khairul Aman selepas beliau menjalani pembedahan kecil. Beliau masih berada di hospital dan tidak dapat bermain untuk perlawanan seterusnya.

“Beliau rasa sedih kerana tidak dapat bersama-sama rakan sepasukan dan bermain untuk perlawanan seterusnya di Stadium Titiwangsa. Kita doakan supaya Khairul Aman segera sembuh,” tulisnya.

Malaysia memastikan kemaraan ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan B selepas menewaskan Korea Selatan semalam, sekali gus memastikan kemenangan bersih dalam kesemua tiga aksi peringkat kumpulan.

Setakat ini, pasukan negara sudah meraih dua gelaran pada saingan Piala Asia yang julung kali diadakan itu selepas memenangi kuadran menewaskan Jepun 2-0 sebelum membenam Thailand 2-0 dalam acara regu.

Bagaimanapun, tiada rezeki buat pasukan negara dalam acara double apabila tewas 1-2 kepada Thailand di perlawanan akhir.

Tahun lalu, hasrat Malaysia menamatkan kemarau kejuaraan acara regu berpasukan pada saingan Piala Dunia 2024 yang turut berlangsung di Stadium Titiwangsa tidak tertunai apabila tewas 1-2 kepada Thailand.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI