PETALING JAYA – Perdana Menteri membangkitkan isu MH17 di hadapan Presiden Russia, Vladimir Putin ketika lawatan rasminya di negara itu baru-baru ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berpegang pada prinsip bahawa kebenaran mesti ditegakkan demi keadilan buat mangsa serta keluarga mereka.
Beliau berkata, dalam lawatan rasmi itu juga kejayaan bermakna yang dicapai dalam memperkukuh persahabatan Malaysia-Russia, meneroka ruang kerjasama strategik baharu dan memperluas peranan Malaysia sebagai jambatan antara dunia Islam dan kuasa besar global.
“Pertemuan bersama Presiden Vladimir Putin membuka potensi perdagangan, pelaburan, pelancongan, di samping menyimpulkan penyambungan semula penerbangan terus Aeroflot ke Malaysia.
“Beliau turut nyatakan dukungan terhadap kerjasama dalam industri halal dan kewangan Islam. Saya menghargai hubungan persahatan yang terjalin dengan Presiden Putin,” katanya dalam satu hantaran di laman X di sini hari ini.
Sementara itu katanya, dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, Mikhail Mishustin, pihaknya berbincang mengenai kerjasama dalam bidang pertanian termasuk koko dan minyak sawit, serta usaha menyelesaikan isu-isu yang membantutkan usaha dagangan dua hala.
“Sesi meja bulat bersama 24 syarikat utama Russia membuka potensi kerjasama dalam pelbagai sektor daripada produk berasaskan sawit, industri kimia dan perabot, sehinggalah teknologi digital dan kecerdasan buatan.
“Minat yang ditunjukkan amat memberangsangkan,” katanya.
Katanya, semasa di Kazan, Anwar telah menyampaikan ucaptama di Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik “Russia-Islamic World” dan KazanForum.
“Saya tegaskan bahawa dunia Islam harus bangkit sebagai kuasa yang membina keamanan, keadilan dan harapan. Saya turut bertemu Mufti Russia, Presiden Turkmenistan dan tokoh-tokoh utama dunia Islam.
“Lawatan ini tidak bererti Malaysia berpihak kepada mana-mana blok kuasa,” katanya.
Katanya, hubungan dengan Russia tidak menjejaskan persahabatan negara dengan Amerika Syarikat, China atau mana-mana rakan dagang lain.
“Malaysia berhak menentukan hala tuju secara bebas dan berprinsip demi kepentingan rakyat kita.
“Alhamdulillah, delegasi Malaysia membawa pulang pengalaman yang amat berharga dari Russia, sama ada dalam memperkukuh hubungan dua hala dan merintis kerjasama baharu mahupun penghayatan sejarah, kekayaan budaya serta semangat ketahanan rakyatnya.
“Penghargaan tertinggi atas layanan luar biasa dan persahabatan yang dihulurkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE