KUALA LUMPUR – Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) menerima 29,159 permohonan pengeluaran syer dengan nilai keseluruhan mencecah RM691.58 juta bagi tempoh tahun 2022 hingga April lalu.
Pengerusinya, Datuk Mohd. Banuri Aris berkata, walau berdepan permintaan tinggi terhadap pengeluaran syer, KPF tetap komited dalam memenuhi tanggungjawabnya kepada anggota.
Ujar beliau, urusan pembayaran namun dilakukan dengan teliti berdasarkan keutamaan bagi memastikan kebajikan anggota KPF sentiasa menjadi fokus utama.
“Sebanyak 18,783 permohonan melibatkan nilai RM319.44 juta telah berjaya diproses dan dibayar kepada anggota mencerminkan kesungguhan KPF dalam menunaikan amanah secara bertanggungjawab.
“Permohonan masih dalam proses yang melibatkan RM372.13 juta membabitkan 10,376 permohonan akan terus diselesaikan secara berfasa dan penggiliran keutamaan diberikan kepada kes kritikal seperti
perubatan, haji dan umrah serta pendidikan,” katanya pada sidang media di ibu negara hari ini.
Terdahulu, Mohd. Banuri berkata, bagi memastikan KPF kekal mampan dan dapat memenuhi komitmen kepada anggota, KPF memperkenalkan Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan merangkumi tiga strategi utama.
Menurut beliau, strategi pertama adalah penjualan aset perladangan yang dijangka selesai pada suku ke-4 tahuh 2025, manakala strategi kedua adalah pelupusan hartanah yang tidak menguntungkan.
Tambah beliau, strategi seterusnya adalah penstrukturan aset pelaburan dalam syarikat bersekutu.
“Pelan ini bertujuan menyelesaikan permohonan pengeluaran syer tertunggak serta menjana pendapatan mampan jangka panjang yang lebih lestari,” katanya.
Sementara itu, kata beliau, usaha menyeluruh yang dilaksanakan KPF sejak beberapa tahun lalu kini mula menunjukkan hasil yang positif.
Katanya, ia sejajar dengan aspirasi untuk mengembalikan semula keyakinan anggota dan memperkukuh kedudukan kewangan koperasi.
“Pendekatan rasionalisasi yang dirangka secara berperingkat serta pemerkasaan struktur pentadbiran dalaman telah membina semula asas kewangan yang kukuh bagi KPF,” katanya. – KOSMO! ONLINE